Pengusaha hotel perlukan 'talian hayat'

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Pengusaha hotel memerlukan bantuan khas daripada kerajaan untuk meneruskan operasi sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilanjutkan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, ketika ini hampir 100 peratus hotel di negeri ini berdepan tekanan dalam mencari sumber pendapatan berikutan tiada tempahan daripada pengunjung.

Menurutnya, program subsidi upah serta kadar diskaun 10 peratus bagi penggunaan tenaga elektrik yang ditawarkan kerajaan tidak sepenuhnya membantu pembiayaan sebenar yang ditanggung.

"Walaupun dibenarkan beroperasi, kita sebenarnya telah kehilangan semua punca pendapatan.

"Cukai tanah, cukai taksiran masih dikenakan, lesen hotel dan bayaran levi bagi yang mengambil pekerja asing masih perlu dibayar, itu belum dikira bayaran pinjaman kepada bank.

"Memang ada pengusaha hotel mempunyai cabang perniagaan lain yang boleh digunakan sebagai sumber pendapatan, tetapi cara itu juga tidak mampu untuk bertahan dalam tempoh yang lama dan bagi mereka yang hanya tertumpu kepada perniagaan hotel pula, kesannya pasti lebih perit," katanya.

Beliau berkata, cadangan MAH sebelum ini yang meminta kerajaan menaikkan kadar subsidi upah pada kadar 50 peratus untuk pekerja yang bergaji sehingga RM4,000 dan 30 peratus untuk yang bergaji sehingga RM8,000 sesuatu yang perlu dipertimbangkan.

Katanya, permohonan untuk diberikan diskaun sehingga 50 peratus bagi semua kadar cukai dan bayaran utiliti juga perlu diperhalusi oleh kerajaan bagi mengelak tanggungan kerugian kewangan yang lebih besar.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlukan lebih 'support' sistem daripada kerajaan sendiri secara terus kepada pengusaha hotel seperti peningkatan subsidi upah, ini boleh dianggap satu kaedah untuk melindungi industri dan pekerja.

"Sekiranya kedudukan kewangan hotel terus tergugat, sudah pasti pengusaha terpaksa membuat pertimbangan sukar dengan membuat pemberhentian kakitangan dalam skala lebih besar atau lebih buruk menutup terus operasi," katanya.

Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT) itu berkata, di Perak terdapat hampir 70 hotel berdaftar dengan MAH dan setakat ini hanya satu hotel di Ipoh yang mengambil keputusan menutup operasi mereka secara kekal.

"Dianggarkan 20 peratus hotel di negeri ini telahpun menutup sementara operasi mereka sehingga penularan Covid-19 reda dan bakinya masih beroperasi, namun dalam keadaan cukup kritikal," katanya.