PKPD: Laluan tikus sekitar Felda Tersat dipasang kawat duri

Mohd Adli (dua kiri ) memeriksa kawat duri yang dipasang di laluan utama keluar masuk ke Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu, sempena pelaksanaan PKPD, Khamis
Mohd Adli (dua kiri ) memeriksa kawat duri yang dipasang di laluan utama keluar masuk ke Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu, sempena pelaksanaan PKPD, Khamis
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kawalan ketat di 10 laluan keluar masuk iaitu tiga laluan utama dan tujuh laluan tikus dipasang pagar kawat duri di sekitar kawasan Felda Tersat, Ajil, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kawat duri sepanjang 80 meter dipasang di kawasan berkenaan yang berkeluasan 1144.94 hektar bertujuan memudahkan anggota tentera dan polis mengawal pergerakan 650 keseluruhan penduduk dengan lebih sistematik.

Katanya, penugasan itu disertai anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Seramai 30 anggota PDRM ditugaskan melibatkan tiga shif selain mendapat bantuan daripada anggota RELA.

"Selain laluan utama dikawal rapi, kami turut memfokuskan kawalan di laluan tikus yang difahamkan sebelum ini dijadikan laluan alternatif penduduk sebagai jalan pintas keluar dari penempatan berkenaan selain laluan utama.

"Sehingga kini seramai 600 penduduk difahamkan sudah membuat saringan Covid-19 dan kini masih menunggu keputusan," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di lokasi, pada Khamis.

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian mendapati suasana laluan keluar masuk di Felda Tersat, Ajil, di sini, lengang dan hanya kelihatan kenderaan petugas di lokasi di laluan utama berkenaan susulan pelaksanaan PKPD di kawasan itu bermula 12.01 tengah malam pada Khamis.

Tinjauan mendapati laluan masuk ke kawasan perkampungan sudah mula dipasang pagar berduri sejak awal pagi dan pemeriksaan ketat ke atas kenderaan penduduk yang melalui laluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang laluan pula kelihatan dipenuhi kain rentang sebagai peringatan pemberitahuan lokasi berkenaan termasuk 'zon merah' dan mengingatkan agar individu berada di kawasan tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPD.

Sementara itu, satu lagi kawasan di daerah ini yang diarahkan PKPD membabitkan Tapak Bina Kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang, di sini yang mana sebanyak 62 kes positif Covid-19 daripada 386 ujian telah direkodkan.

Mohd Adli berkata, di lokasi terbabit, pihaknya juga membuat kawalan ketat di laluan utama keluar masuk di lokasi serta memasang kawat berduri turut bagi memudahkan kawalan pergerakan hampir 300 penghuni di kawasan tersebut.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan dua lokaliti di daerah ini iaitu Felda Tersat dan TNB dikenakan PKPD bermula hari ini (Khamis) sehingga 17 Februari nanti.

Sehingga 1 Februari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia ( KKM ) sudah melaksanakan 420 ujian saringan Covid-19 dan sebanyak 45 kes didapati positif virus berkenaan.

Sementara itu, Mohd Adli mengesahkan tular sebelum ini di media sosial berhubung satu kematian membabitkan seorang penduduk di Felda Tersat, di sini, berusia 73 tahun berpunca kerana Covid-19.