Padah tipu tukar sesyen kesalahan kes siasatan SPRM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Padah menipu seorang lelaki kononnya mahu membantu menukarkan seksyen kes siasatan SPRM, dua ahli perniagaan didenda RM50,000 dengan salah seorang daripadanya dipenjara seminggu oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda RM50,000 dan penjara seminggu terhadap Mohd Hussein Mohd Nasir, 52, manakala denda RM50,000 ke atas Razaly Mat Sari, 55, selepas kedua-duanya mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah memerintah kedua-dua tertuduh dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda dan mereka membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa menipu dengan memperdaya Norazman Mohd Nor, 50, kononnya kamu bersama-sama boleh membantu menukarkan seksyen kesalahan kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan mangsa sama daripada Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kepada Seksyen 25(1) Akta sama, yang mendorong mangsa supaya menyerahkan RM40,000.

Kejadian dilakukan di lobi sebuah hotel, di Putrajaya pada jam 4.10 petang, 16 Disember 2020 lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didapati melakukan kesalahan mengikut 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman denda dan penjara selama dua minggu memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Perbuatan mereka mencerminkan seolah-olah jabatan kerajaan ini boleh dirasuah sedangkan ia bukan perkara biasa malah bertentangan dengan polisi awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam, Adha Amin yang mewakili Mohd Hussein dan Fahmi Abdul Moin yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan anak guam merupakan penanggung utama keluarga.

Menurut peguam itu, kedua-duanya menyesal dengan perbuatan mereka serta berjanji akan bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas ini.