Polis tahan empat lelaki curi bahan mentah buat plastik

Abdul Majid (kanan) menunjukkan gambar dua suspek yang diburu bagi membantu siasatan kes kecurian bahan mentah di sebuah kilang di Cheng bulan lalu.
Abdul Majid (kanan) menunjukkan gambar dua suspek yang diburu bagi membantu siasatan kes kecurian bahan mentah di sebuah kilang di Cheng bulan lalu.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan empat lelaki kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian bahan mentah membuat plastik bernilai RM60,000 menerusi dua tangkapan berasingan di Perak dan Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Ali berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dari sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng, di sini pada 19 Januari lalu berhubung kecurian 10 paket bahan mentah terbabit sebelum dua daripadanya ditemui semula di sebuah kilang di Puchong, Selangor lebih kurang jam 1 petang pada Isnin lalu.

Menurutnya, kesemua suspek berusia antara 32 hingga 37 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah D9, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Daripada 10 paket bahan mentah yang dicuri kita hanya menemukan dua paket sahaja dan menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian bahan mentah ini," katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas untuk membantu siasatan dikenali sebagai Ramanan, 21, beralamat di Kampung Baru Semenyih, Selangor dan DTerancee Mark, 27, di Taman Tangling Simpang Ampat, Pulau Pinang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek ini boleh menghubungi balai polis terdekat.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: