Tiada Islam moderat, Pemuda Pas beritahu Kit Siang

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas membidas kenyataan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan parti demokratik itu berkawan dengan umat Islam yang moderat.

Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan tiada istilah moderat, konservatif mahupun ortodoks dalam Islam.

“Sebenarnya tiada takrifan Islam itu dibahagikan kepada moderat, konservatif, ortodoks atau apa jua kelas sekalipun.

“Pembahagian takrifan sebegitu hanya untuk mengelirukan serta memecah-belahkan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kit Siang menyifatkan parti itu tidak memusuhi Islam sebaliknya berkawan dengan umatnya yang moderat dan bertoleransi demi membina negara lebih baik.

Dalam pada itu, Khalil yang juga ADUN Batu Burok menjelaskan ajaran Islam sebenar seperti yang tertulis tidak pernah membahagikan Islam kepada kelas-kelas tertentu.

Katanya, kenyataan Kit Siang itu tidak lain tidak bukan merujuk kepada orang Islam yang boleh mengikut telunjuk DAP.

“Pandangan sebegitu adalah karut dan menyalahi ajaran Islam itu sendiri. Maka jelas sebenarnya apa yang di perkatakan oleh Kit Siang adalah orang Islam yang boleh mengikut telunjuk DAP serta agendanya.

Artikel Berkaitan:

“Pas berpengalaman dalam berkerjasama dengan DAP, setiap kali berkerjasama maka akhirnya DAP akan keluar dari kerjasama tersebut. Daripada pengalaman tersebut, apa yang Pas dapati ialah DAP rakan yang tidak boleh di percayai sama sekali,” katanya.

Mengimbau persahabatan yang terputus pada tahun 2015, Khalil berkata perpecahan itu berlaku kerana DAP tidak mampu menundukkan Pas.

“Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) isytihar keluar dan bubarkan Pakatan Rakyat. Mengapa terjadi begitu?

“Kerana Pas tidak mampu ditundukkan DAP dan bersetuju dengan agendanya seperti DAP memaksa Pas melupakan agenda negara Islam dan hudud yang diperjuangkan Pas sejak penubuhannya,” katanya.

Katanya lagi, DAP berjaya menjadikan Amanah sebuah parti yang membawa agenda Islam mengikut acuan DAP.

“Amanah boleh bekerjasama dengan DAP dalam PH kerana hakikatnya Amanah mengikut telunjuk DAP. Isu Sarawak Report sebagai contoh, Amanah lebih kuat teriaknya daripada DAP.

“Amanah juga senada dengan DAP dalam isu ICERD, Pilihanraya Tempatan dan lantikan ahli DAP sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia adalah contoh jelas Islam moderat acuan DAP,” katanya.