Empat termasuk remaja bawah umur didakwa bunuh, bersubahat

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

SEREMBAN - Empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang lelaki di sebuah rumah di Pulai Villa, Sikamat, bulan lepas.

Mohd Fitri Zan, 25, dan Mohd Zairizan Zainal, 41, didakwa membunuh Tong Wai Sai, 43, di sebuah rumah di Jalan Pulai Impian 17, Pulai Villa, Sikamat, pada jam 3 pagi, 23 Januari lepas.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusof dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Majistret V Vanita, seorang lagi tertuduh Mohammad Hairul Fazley, 20, dan seorang remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat membunuh lelaki yang sama di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala Mohd Fitri diwakili peguam, Datuk N Sivananthan dan Nabila Habib, Mohd Zairizan diwakili Grace Nathan, Mohammad Hairul diwakili Hasnan Hamzah dan remaja bawah umur tidak diwakili peguam.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: