X

Kindly register in order to view this article
!

JHL siasat penemuan lebih 30 babi hutan mati di Kinabatangan

Paparan Facebook Isu-isu semasa Politik N.2 Bengkoka memuat naik penemuan misteri kematian babi hutan di beberapa kampung sekitar Kanibongan dan Paitan.
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mengesahkan penemuan sejumlah besar bangkai babi hutan di hutan Kinabatangan selepas tular di laman sosial.

Menerusi laporan The Borneo Post, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya telah meminta jabatan veterinar melakukan siasatan punca kematian haiwan itu.

"Ketika ini mereka sedang melakukan siasatan, kami sedang menunggu hasil analisis sama ada babi hutan itu mati kerana penyakit atau ada punca lain.

"Pihak kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Augustine menggesa orang ramai untuk tidak memakan daging babi hutan.

Beliau memberitahu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jabatan veterinar telah melarang pengeluaran lesen memburu haiwan tersebut sekali gus tidak dibenarkan dijual di pasaran.

"Namun mungkin beberapa individu telah melakukan pemburuan secara haram," katanya.

Ketika ditanya mengenai tarikh keputusan hasil siasatan itu akan diperolehi, Augustine mengatakan pihaknya belum pasti namun berharap dalam masa terdekat.

Beliau juga menambah, kes tersebut turut berlaku di beberapa kawasan lain bukan hanya di Kinabatangan.

Pada Rabu, satu posting di Facebook Isu-isu semasa Politik N.2 Bengkoka memuat naik penemuan misteri kematian babi hutan di beberapa kampung sekitar Kanibongan dan Paitan.

Penemuan itu menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung kerana dianggarkan sekitar 30 ekor hingga 60 ekor bangkai ditemui dalam hutan dan punca kematian belum diketahui.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!