Kaedah pelantikan Peguam Negara wajar dinilai semula: Tok Mat

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah pelantikan Peguam Negara sebagai prerogatif mutlak seorang Perdana Menteri wajar dinilai semula, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, Malaysia mesti mempunyai kaedah yang lebih telus dan berwibawa dalam pelantikan seorang Peguam Negara sebagai salah satu reformasi penting yang perlu dilakukan.

Ia susulan kontroversi Buku Tommy Thomas, 'My Story: Justice in the Wilderness' yang telah mengundang pelbagai reaksi pemimpin dan masyarakat Malaysia.

"Itu memoir beliau dan pandangan beliau tidak semestinya benar, sahih dan berwibawa. Yang pasti beliau harus bertanggungjawab dengan apa yang beliau tuliskan. Buku tersebut telah memaparkan betapa maha berkuasanya seorang Peguam Negara dan institusi tersebut.

"Perincian segala peristiwa yang dinyatakan dalam buku tersebut memaparkan betapa meluasnya pengaruh Peguam Negara serta jabatannya dalam pentadbiran undang-undang negara.

"Lebih merisaukan bila pencalonan datang dari individu tertentu yang berkepentingan dan melalui perbualan dengan Perdana Menteri seperti yang di tulis oleh Tun Dr Mahathir sendiri," kataya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru tambah beliau, antara lain jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya perlu dipisahkan bagi menghadkan kuasa yang memusatkan segalanya kepada seorang individu sahaja.

"Mungkin wajar untuk kerajaan mempertimbangkan pemisahan peranan tersebut dengan melantik Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi menjalankan fungsi yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun saya realistik bahawa meminda perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dan adalah sukar, namun persediaan kearah matlamat tersebut mesti dilakukan demi pelaksanaan dan pentadbiran undang-undang yang dihormati serta berwibawa," katanya.