Motosikal berkuasa tinggi bukan milik saya: Khalil

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi menafikan mempunyai motosikal berkuasa tinggi seperti tersebar di laman sosial.

Memetik laporan The Star, beliau menjelaskan gambar ketika berada di atas motosikal jenis BMW R1200RT hanya untuk kempen kesedaran pengguna jalan raya sempena sambutan Hari Raya pada 2017.

"Motosikal itu bukan milik saya dan gambar tersebut diambil dua tahun lalu sempena kempen kesedaran pengguna jalan raya pada sambutan Hari Raya 2017," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan mengatakan kepimpinan tertinggi Pas mengumpul kekayaan hasil daripada sumber dana yang disalurkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Porsche itu memang atas nama saya, tapi...'

Tidak terlepas dari dakwaan tersebut, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin turut dikatakan memiliki sebuah kereta mewah jenis Porsche Cayman.

Namun begitu, beliau menjelaskan kereta tersebut dibeli anaknya beberapa tahun lalu menggunakan Permit Import (AP) yang dimiliki atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Arau sebelum ini bagi tujuan perniagaan kereta terpakai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90j: Orang Pas beli banglo, Porsche, Vellfire?

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan, agensi itu akan memberi tumpuan kepada pembelian aset mewah seperti kereta, motosikal berkuasa tinggi dan banglo dipercayai milik pemimpin Pas dalam siasatan membabitkan dana RM90 juta.

Katanya, agensi itu telah mengenal pasti beberapa pemimpin Pas menggunakan kereta mewah dan juga membeli banglo.