X

Kindly register in order to view this article
!

Bapa tiri pernah didakwa cederakan isteri

Abdul Majid Gambar kecil: Laporan Sinar Harian berhubung kejadian kanak-kanak maut dalam tong disyaki didera sebelum ini.
A
A

MELAKA - Bapa tiri kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera pernah didakwa di Mahkamah Majistret kerana memukul isterinya pada 8 September tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali mengesahkan, suspek berusia 38 tahun itu pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

"Ya suspek lelaki iaitu bapa tiri mangsa pernah didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas kesalahan memukul isterinya dan kita mengesahkannya," kata beliau dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka, di Bukit Beruang di sini pada Khamis

Menurut beliau, suspek didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang ketika itu berusia 31 tahun dengan cara memukul bahagian pipi kanan menggunakan tangan.

Suspek didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah rumah di Jalan KJ19 Taman Krubong Jaya dekat sini kira-kira jam12.30 tengah malam pada 3 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman mengesahkan hasil bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati pelbagai kecederaan termasuk luka baharu dikesan di bahagian belakang kepala kanak-kanak itu namun punca kematian akibat didera belum dapat dikenal pasti.

"Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes ini dan suami isteri itu masih direman," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!