Sultan Selangor puji keberanian Sinar Harian papar isu rasuah

Sultan Sharafuddin Idris Shah- Foto Royal Selangor Office
Sultan Sharafuddin Idris Shah- Foto Royal Selangor Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji langkah akhbar Sinar Harian yang berani tampil dengan laporan pelbagai perspektif mengenai realiti sebenar isu rasuah di Malaysia melalui segmen Rasuah Busters.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, Sultan Sharafuddin mengulangi kebimbangan baginda mengenai peningkatan isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Baginda bertitah terkejut apabila membaca laporan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

“Tegas baginda, rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat dan dikhuatiri mampu menghancurkan negara yang kita sayangi ini.

“Baginda mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam,” menurut kenyataan yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office pada Khamis.

Menurut Istana Alam Shah, Sultan Sharafuddin menggesa pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah

“Baginda turut berharap pelaku-pelaku rasuah dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh dan diadili di mahkamah dengan pantas serta telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Baginda juga menasihatkan setiap rakyat agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang,”katanya.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin juga tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.

“Tegas baginda suasana ketika ini diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.

“Untuk itu, baginda menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah serta fitnah, demi kesejahteraan negara dan generasi akan datang.

“Baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju ke hadapan,” katanya.

Pada 16 Januari, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub melancarkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa.

Tidak bertujuan untuk mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa khususnya SPRM, sebaliknya gerakan massa oleh Sinar Harian dengan mewujudkan Rasuah Busters itu sebenarnya sebagai pembuka laluan bagi mengajak rakyat bangkit membanteras rasuah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!