Sindiket dadah sewa treler angkut ganja

Kamarulzaman (tiga, kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan di Taman Perindustrian Subang Jaya, pada Isnin.
Kamarulzaman (tiga, kiri) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas dalam serbuan di Taman Perindustrian Subang Jaya, pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Taktik sindiket yang menyewa treler untuk mengangkut dadah terbongkar selepas digempur polis dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan, pada Isnin lalu.

Serbuan bermula pada jam 6.15 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Selangor hasil maklumat dan risikan itu berjaya memberkas lima lelaki termasuk seorang warga Kemboja bertaraf penduduk tetap.

Timbalan Pengarah JSJN (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, serbuan itu berjaya merampas 150 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat hampir 150 kilogram (kg) bernilai RM373,075.

Polis merampas 150 ketul dadah dalam serbuan di Taman Perindustrian Subang Jaya, pada Isnin.
Polis merampas 150 ketul dadah dalam serbuan di Taman Perindustrian Subang Jaya, pada Isnin.

"Dalam serbuan pertama di Taman Perindustrian Subang Jaya, berjaya menahan dua lelaki termasuk warga Kemboja.

"Semasa serbuan, kedua-dua suspek sedang memunggah 150 ketulan dadah dari treler untuk dimasukkan ke dalam kereta sebelum diedar ke sekitar Kuala Lumpur dan kawasan sekitar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada Khamis.

Kamarulzaman berkata, susulan itu, tiga lagi suspek masing-masing diberkas di Seremban, Negeri Sembilan; Desa Petaling dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Tambahnya, wang tunai RM51,500 dan empat buah kenderaan turut dirampas.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah wang tunai turut dirampas daripada sindiket berkenaan.
Sejumlah wang tunai turut dirampas daripada sindiket berkenaan.

Mengulas lanjut, pihaknya percaya sindiket yang telah aktif sejak kira-kira tiga bulan lalu itu mengambil kesempatan dengan menggunakan khidmat treler yang menjadi 'essential service' ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, siasatan pihaknya mendapati dadah jenis ganja itu dibawa dari utara semenanjung dengan cara menyembunyikannya di sebalik muatan barangan harian.

"Selain itu, semakan lanjut yang dibuat juga mendapati empat suspek memiliki rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah termasuk menyamar polis serta curi.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 35 hingga 43 tahun kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.