X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu teksi pulang tangan kosong, terjejas akibat PKP

Shamsiah (kanan) menyerahkan 100 bungkusan bantuan bekalan makanan kepada Mustakim untuk diberikan kepada pemandu teksi dan kereta sewa di Hentian Teksi Kluang, Kluang pada Khamis.
A
A

KLUANG - Lebih 100 pemandu teksi sekitar bandar ini terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Daerah Kluang, Mustakim Jalel berkata, sumber pendapatan mereka dijangka semakin tidak menentu berikutan PKP dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.

"Semua pemandu teksi di Kluang ini amat merasai kesan PKP yang dilaksanakan ketika ini apatah lagi dilanjutkan sehingga dua minggu lagi.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, ada pemandu teksi balik tangan kosong selepas keluar untuk mendapatkan penumpang dari pagi hingga petang di Hentian Teksi Kluang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hentian itu, di sini pada Khamis.

Terdahulu Penyelaras Malaysian Relief Agensi (MRA) Kluang, Shamsiah Saaban menyampaikan bantuan bekalan makanan daripada MRA Johor kepada 100 pemandu teksi di hentian tersebut.

Mustakim berkata, keadaan bertambah teruk apabila pemandu teksi di sini terpaksa berdepan saingan dengan syarikat pengangkutan e-hailing selain teksi haram yang semakin banyak di daerah ini.

Sementara itu, Shamsiah berkata, sumbangan itu diberikan selepas pihaknya merasakan ramai pemandu teksi semakin terjejas pendapatan pada ketika ini.

Katanya, inisiatif tersebut dilancarkan untuk mendapatkan bantuan terutama sekali bekalan makanan sebagai satu langkah mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka.

Selain itu ujarnya, bantuan serupa diberikan kepada pemandu teksi di Renggam, Simpang Renggam dan Layang-layang.

"Diharapkan bantuan ini dapat membantu mereka menjalankan kehidupan harian bersama keluarga seperti sebelum ini walaupun berhadapan dengan kekurangan pendapatan akibat daripada ketiadaan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!