Ringgit dibuka mengukuh susulan kenaikan harga minyak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS pada awal dagangan pagi Khamis, didorong oleh kenaikan harga minyak yang menyaksikan minyak mentah Brent yang juga penanda aras global menghampiri AS$60 setong, kata penganalisis.

Ini menjadikan ringgit naik kepada 4.0470/0510 berbanding dolar AS daripada 4.0490/0530 sewaktu ditutup pada Rabu.

Penganalisis Kanan Pasaran OANDA Europe, Craig Erlam berkata, harga minyak terus mencatat aliran kenaikan, menjadikan peningkatan bagi hari ketiga berturut-turut pada Rabu ketika Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum dan sekutu (OPEC+) kelihatan berpegang kepada rancangan pengeluaran semasa selepas berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Menteri (JMMC).

“Kumpulan itu optimis terhadap pemulihan pada 2021 bersandarkan faktor-faktor seperti usaha vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan selain wujudnya tanda-tanda positif yang berterusan.

“Malah, data inventori yang lebih baik daripada jangkaan awal serta peningkatan sentimen pasaran juga mendorong aliran peningkatan harga minyak pada minggu ini,” kata Erlam dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, peningkatan ringgit bagaimanapun dijejaskan oleh data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China oleh Caixin/Markit.

Menurut laporan, sektor perkhidmatan China bergerak pada kadar paling perlahan dalam tempoh sembilan bulan pada Januari dan susut kepada 52.0 -- terendah sejak April 2020 daripada 56.3 pada Disember.

Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar China bagi 11 tahun berturut-turut pada 2019 dengan nilai dagangan mencecah RM316.6 bilion, demikian menurut Statistik Perdagangan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0344/0392 daripada 3.0359/0401 pada Rabu dan meningkat sedikit berbanding yen kepada 3.8517/8566 daripada 3.8533/8574, sebelum ini.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5197/5256 daripada 5.5216/5287 namun susut berbanding euro kepada 4.8710/8762 daripada 4.8677/8733. - Bernama