Guna WeChat, MiChat untuk aktiviti pelacuran

Suspek menjalankan aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi Wechat dan MiChat ditahan dalam serbuan di sebuah apartment, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.
Suspek menjalankan aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi Wechat dan MiChat ditahan dalam serbuan di sebuah apartment, Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat untuk mendapatkan pelanggan, itu cara dua remaja menjalankan aktiviti persundalan sebelum berjaya ditahan dalam satu serbuan Ops Noda di sebuah apartment, Jalan Tun Fuad Stephen, Isnin lalu.

Dalam serbuan jam 10.30 malam itu, kedua-dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun terbabit ditahan bersama kondom dan telefon pintar yang digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ini menawarkan khidmat pelacuran tanpa orang tengah iaitu melalui dua aplikasi terbabit.

"Kedua-dua wanita yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai menjalankan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan mudah.

"Mereka menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat untuk membolehkan pelanggan terus berhubung bagi mendapatkan perkhidmatan seks sekali gus menyukarkan identiti sebenar mereka dikesan," katanya pada Rabu.

Alhusin berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas pihaknya berjaya mengesan kegiatan mereka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

"Kerjasama dan maklumat orang awam dialu-alukan bagi mengekang kegiatan pelacuran melalui aplikasi seumpama ini," katanya.

Artikel Berkaitan: