Mohd Nazri dilantik Pengerusi Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional

Wan Junaidi (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional yang baharu.
Wan Junaidi (tengah) menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional yang baharu.
A
A
A

PUTRAJAYA- Pengurus Besar Hubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd Nazri Chik dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah Tekun Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lantikan tersebut berkuat kuasa pada 15 Februari 2021 hingga 14 Februari 2023.

"Selain Mohd Nazri yang juga merupakan Ketua Pegawai Syariah Kumpulan BIMB, turut dilantik adalah Profesor Madya Dr Azman Mohd Noor dari Institute of Islamic Banking & Finance (IiiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Madya Dr Kamaruzaman Noordin dari Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Syed Abdullah Syed Nordin," katanya.

Menurutnya, jawatankuasa syariah itu akan berfungsi sebagai penasihat dan pakar rujuk dalam hal ehwal pematuhan dan tadbir urus syariah di Tekun Nasional.

"Ahli-ahli baharu yang dilantik ini terdiri daripada kalangan tokoh yang berintegriti, komited dan dihormati di pelbagai peringkat serta mempunyai kepakaran luas dalam undang-undang syariah dan kewangan Islam," katanya.

Beliau berkata, kesemua ahli jawatankuasa itu berupaya memperkasakan kewibawaan sekali gus memberi lebih keyakinan kepada usahawan yang komited untuk melaksanakan perniagaan sejajar dengan prinsip syariah.

Tekun Nasional telah menawarkan pembiayaan patuh syariah dengan menggunakan konsep Qardul Hasan sejak tahun 2006.

Pada tahun 2016, Tekun Nasional telah memperkenalkan konsep patuh syariah yang baharu iaitu Tawarruq.

Artikel Berkaitan:

Sebagai permulaan, konsep Tawarruq ini diguna pakai dalam Skim Pembiayaan Tekun Niaga.

Tekun Nasional telah mendapat pengiktirafan patuh syariah daripada Syariah Centre of Excellence Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 2017.

Sehingga kini semua produk pembiayaan Tekun yang ditawarkan kepada para usahawan adalah patuh syariah sepenuhnya.