X

Kindly register in order to view this article
!

[EKSKLUSIF] Syarat izin import sudah dipersetujui

Isu kartel daging sejuk beku menggoncangkan negara selepas pendedahan akhbar Sinar Harian sejak November lalu.
A
A

PUTRAJAYA- Surat yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengenai kelonggaran syarat izin import bukan bertujuan memudahkan daging haram dibawa masuk ke dalam negara.

Ia susulan dakwaan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang mengaitkan surat berkenaan yang konon menjadi punca penguatkuasaan di pintu masuk negara longgar menyebabkan daging haram itu bebas dibawa masuk.

Jelas Maqis, surat yang dimaksudkan ialah pemakluman kepada semua pegawai di lapangan termasuk di semua pintu masuk negara tentang ketidakperluan permit import untuk semua dagangan di bawah kawalan Maqis iaitu tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma bagi aktiviti transhipment di semua pintu masuk.

Bagaimanapun, pemakluman tersebut tidak melibatkan Sabah dan Sarawak kerana ia dikawal sepenuhnya pihak kastam di semua pintu masuk dengan penggunaan Manifest Transhipment K6.

“Keputusan itu telahpun diputuskan di peringkat pelbagai agensi, jabatan dan kementerian yang berkaitan.

“Untuk makluman, transhipment atau pindah kapal bermaksud kemasukan sesuatu komoditi di satu pintu masuk negara dan keluar pada pintu masuk yang sama, manakala aktiviti transit ialah pergerakan masuk dan keluar di dua pintu masuk yang berlainan.

“Transhipment bukanlah salah satu aktiviti import dan ia bukan kaedah dagangan yang tujuan utama untuk kegunaan masuk ke negara seperti mana pemahaman orang ramai berkenaan maksud transhipment,” menurut Maqis dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jelas kenyataan itu, untuk surat berkenaan, hanya aktiviti transhipment sahaja dikecualikan permit import di mana aktiviti transit masih memerlukan surat kebenaran atau pas transit daripada pihak Maqis.

Katanya, transit dan transhipment untuk kegunaan negara ketiga dan Malaysia merupakan salah sebuah negara persinggahan bagi tujuan pertukaran pengangkut.

Jelasnya, surat tersebut juga memaklumkan syarat utama bagi membolehkan aktiviti transhipment dilakukan iaitu melibatkan full container load (FCL).“Manifest Transhipment K6 hendaklah dikemukakan dengan maklumat yang terperinci dan lengkap.

“Tiada pertukaran status transhipment kepada import. Tiada pertukaran status FCL kepada loose container load (LCL) dan hanya kontena jenis tertutup dengan seal tag dari negara berkenaan sahaja dibenarkan,” katanya.

Justeru, ia bukan surat kelulusan untuk sesuatu produk daging import masuk ke Malaysia tanpa memerlukan permit import yang sah kerana transhipment dan aktiviti import adalah dua perkara yang berbeza.

Mengulas mengenai gambar tangkap layar di WhatsApp tentang perbualan disyaki berlaku di antara pegawai dan ejen atau bersama pihak lain, Maqis menegaskan, ia merupakan satu tuduhan yang serius.

“Jabatan tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan perkara sedemikian.

“Sekiranya ia diperoleh daripada sumber yang sahih, kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan informasi tersebut bagi memastikan siasatan menyeluruh dilakukan terhadap si pelaku,” katanya.

Jelasnya, Maqis juga sentiasa terbuka kepada agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bersama menyiasat perkara dalam memastikan kawalan penguatkuasaan di pintu sempadan negara terpelihara.

Muka depan Sinar Harian pada 2 Disember tahun lepas mengenai serbuan ke atas gudang kartel daging haram di Senai, Johor.
Muka depan Sinar Harian pada 2 Disember tahun lepas mengenai serbuan ke atas gudang kartel daging haram di Senai, Johor.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Kegiatan itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Setakat ini, seramai 10 individu direman SPRM bagi membantu siasatan kes rampasan 1,500 tan daging bernilai RM30 juta.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!