Navalny jadi 'barah' buat Putin

Pemimpin pembangkang dan antirasuah Rusia, Alexei Navalny (kanan) dihukum penjara hampir tiga tahun atas kesalahan melanggar syarat parol di sebuah mahkamah di Rusia pada Selasa lalu. - Foto AFP
Pemimpin pembangkang dan antirasuah Rusia, Alexei Navalny (kanan) dihukum penjara hampir tiga tahun atas kesalahan melanggar syarat parol di sebuah mahkamah di Rusia pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A
A

PEMIMPIN pembangkang dan antirasuah Rusia, Alexei Navalny yang berusia 44 tahun akhirnya dipenjarakan di negaranya pada Selasa lalu untuk tempoh hampir tiga tahun.

Pada tahun 2014 beliau dihukum penjara tiga tahun dan enam bulan berhubung satu kes melakukan penipuan tetapi hukuman jel tersebut ditangguhkan.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang itu dikehendaki hadir untuk mendaftarkan diri kepada Perkhidmatan Penjara Rusia (FSIN) dua kali sebulan sehingga 30 Disember 2020.

Namun, Navalny didapati gagal untuk berbuat demikian menyebabkan beliau dituduh melanggar syarat parol kerana gagal untuk melaporkan diri kepada pihak penjara.

Pemimpin antirasuah itu kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa Rusia di Moscow ketika pulang dari Jerman pada 17 Januari lalu setelah dirawat di sebuah hospital akibat diracun dengan agen saraf Novichok.

Navalny menuduh pihak perisikan Rusia meracuninya, tetapi dinafikan oleh Moscow kerana tuduhan tersebut tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Justeru, pada Selasa lalu, Hakim Natalyna Repnikova memerintahkan Navalny menjalani hukuman penjara tiga tahun dan enam bulan seperti yang pernah dijatuhkan terhadapnya pada tahun 2014 berhubung kes penipuan.

Hakim itu berkata, hukuman jel tersebut perlu mengambil kira hukuman tahanan di rumah yang telah dijalani oleh Navalny menyebabkan seorang peguam belanya, Olga Mikhailova menyatakan beliau hanya akan menjalani hukuman penjara kira-kira dua tahun dan lapan bulan sahaja.

Artikel Berkaitan:

Ketika menjatuhkan hukuman, hakim itu menyatakan Navalny gagal menghadirkan diri dalam mesyuarat dengan pegawai penjara sebelum beliau diracun dengan agen saraf itu pada tahun lalu.

Kenyataan itu adalah bagi menyangkal dakwaan beliau sukar untuk melaporkan diri kerana telah diracun dengan agen saraf tersebut.

Menurut portal berita The Guardian, Navalny dan adik lelakinya dituduh mencuri 30 juta ruble (RM1.5 juta) daripada dua buah firma termasuk sebuah syarikat kosmetik Perancis antara tahun 2008 dan 2012.

Dalam kes itu, adik Navalny dihukum penjara tiga tahun dan enam bulan selepas didapati bersalah melakukan penipuan tersebut.

Sejumlah penyokong pemimpin pembangkang dan antirasuah Rusia, Alexei Navalny mengadakan tunjuk perasaan bagi mendesak beliau dibebaskan dari penjara di Moscow pada Januari lalu. - Foto AFP
Sejumlah penyokong pemimpin pembangkang dan antirasuah Rusia, Alexei Navalny mengadakan tunjuk perasaan bagi mendesak beliau dibebaskan dari penjara di Moscow pada Januari lalu. - Foto AFP

Kerajaan Rusia turut menafikan bahawa ia menggunakan mahkamah sebagai cara untuk menghukum para penentangnya.

Ini adalah kerana Navalny terkenal sebagai pengkritik Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pernah mengetuai tunjuk perasaan antirasuah dalam kerajaan Putin melibatkan puluhan ribu orang di Moscow dan St Petersburg.

Beliau juga menuduh terdapat penyelewengan besar-besaran dalam bank VTB milik Rusia dan kegiatan monopoli projek infranstruktur saluran paip Transneft yang dikendalikan oleh sekutu Putin.

Seorang bilionair Rusia, Arkady Rotenberg pula baru-baru ini membuat pengakuan bahawa sebuah istana mewah di tepi Laut Hitam terletak dekat bandar Gelendzhik, selatan negara itu dan bernilai AS$1.5 bilion (RM6.7 bilion) adalah miliknya.

Pengakuan itu dibuat selepas pasukan siasatan antirasuah Navalny mendakwa istana berkenaan milik Putin dan video kediaman mewah tersebut disiarkan di YouTube dan mendapat tontonan lebih 100 juta kali.

Namun, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dilihat menyebelahi pemimpin pembangkang itu apabila menyuarakan kebimbangan apabila Navalny ditangkap pada 17 Januari lalu.

AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden pada Selasa turut mengkritik hukuman penjara ke atas pemimpin pembangkang tersebut dan akan bekerjasama dengan sekutu-sekutu serta rakan-rakannya bagi mempertanggungjawabkan Rusia kerana gagal untuk mendukung hak-hak rakyatnya.

United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis turut meminta Rusia membebaskan Navalny dengan segera tanpa syarat manakala para penyokong pemimpin pembangkang itu mengadakan tunjuk perasaan pada malam Selasa lalu ekoran keputusan mahkamah tersebut.

Di tengah Moscow, ratusan anggota polis terpaksa bertempur dengan penyokong-penyokong Navalny manakala lebih 1,000 orang ditahan di seluruh Rusia, menurut sebuah pertubuhan bebas OVD-Info dengan pasukan pemimpin pembangkang itu memuji mereka dengan menghantar mesej menerusi aplikasi Telegram iaitu 'Putin gagal membunuh Navalny'. - Agensi