Utamakan habitat kelip-kelip

Pelepasan benih ikan di Sungai Sepetang antara aktiviti dilakukan sempena Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, hari ini.
Pelepasan benih ikan di Sungai Sepetang antara aktiviti dilakukan sempena Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Kerajaan negeri akan melakukan pembangunan infrastruktur secara terancang di Kampung Dew bagi memastikan kelestarian habitat kelip-kelip terus terpelihara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai lokasi pelancongan, prasarana di kawasan itu perlu ditambah baik agar seiring dengan kemashyuran kelip-kelipnya.

"Kalau boleh kita mahu bukan sahaja keindahan kelip-kelip yang dihargai pelancong, tetapi kemudahan yang ada juga jadi buah mulut mereka.

"Pastinya, kita tidak akan bawa pembangunan moden seperti resort atau hotel lima bintang secara tergesa-gesa, ianya lebih kepada kerjasama dengan penduduk setempat, kalau kita ada homestay, kita perlu cari jalan ia boleh beri perkhidmatan yang baik," katanya selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, hari ini.

Menurutnya, meskipun Kampung Dew sudah lama dikenali sebagai lokasi pelancongan kelip-kelip, pihaknya merasakan usaha mempromosikan kawasan itu perlu ditingkatkan.

"Dalam keadaan apa juga, kita akan perkemaskan promosi, kita sedang usaha ke arah itu.

"Tambahan pula, penduduk sini dan sekitarnya sudah lama memanfaatkan keistimewaan kawasan ini dengan menjadikan kegiatan pelancongan sebagai sumber pendapatan," katanya.

Kampung Dew antara tiga lokasi baharu yang terpilih dalam program pemuliharaan koloni kelip-kelip dijalankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama pakar penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel Berkaitan:

Kajian sejak 2017 yang turut dijalankan di Sungai Timun (Negeri Sembilan) dan Kampung Yak Yah (Terengganu) itu adalah meliputi mengenal pasti populasi kelip-kelip, serangga yang hidup bersama, mutu air, tahap pencemaran dan kesan perubahan guna tanah.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka terhadap mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi sama bagi memberi nilai tambah terhadap lokasi serta produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.

Namun katanya, seboleh-bolehnya pihak terbabit tidak hanya datang dengan idea kitar semula sebaliknya idea segar yang benar-benar mampu memberi kelainan dan tambah-nilai kepada daya tarikan sedia ada.

"Kita yakin, inisiatif UKM mengkaji habitat kelip-kelip dan diperkukuhkan lagi penyertaan TNB melalui TNB Research ini dapat menjamin kelestarian dan kemampanan alam sekitar, bukan sahaja mengekal, malah membiakkan lagi koloni kelip-kelip yang begitu unik ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Penjanaan dan Alam Sekitar TNB Research Sdn Bhd, Dr Mohd Hariffin Boosroh berkata, selepas hampir dua tahun kerja-kerja penyelidikan dilaksanakan di situ, didapati bahawa populasi kelip-kelip di sepanjang Sungai Sepetang dalam keadaan stabil.

"Terdapat dua spesies dijumpai di sini iaitu Pteroptyx Tener dan Pteroptyx Valida," katanya.

Hadir sama ke majlis itu, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Dr Mohammad Kassim.