Melaka sedia khidmat nasihat syariah percuma kepada pasangan Islam

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka menyediakan Program Khidmat Nasihat dan Rundingan Syariah percuma kepada orang ramai khususnya pasangan Islam di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga 31 Disember ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Melaka itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Melaka beragama Islam mendapatkan pandangan profesional berkaitan isu kekeluargaan mengikut hukum syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka.

"Program ini dilaksanakan kerana mengambil kira pelanjutan pelaksanaan PKP 2.0 sehingga 18 Februari ini susulan penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan menyebabkan berlaku konflik rumah tangga dalam kalangan pasangan Islam di negeri ini.

"Sebanyak 33 Ahli Peguam Syarie Melaka yang berdaftar di bawah PGSM Melaka terlibat dalam program ini. Pasangan Islam boleh mendapatkan khidmat nasihat atau rundingan yang disediakan melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon atau bersemuka melalui janji temu," menurutnya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Khidmat nasihat dan rundingan syariah yang ditawarkan termasuk permohonan perceraian secara baik, fasakh, taklik dan tebus taklik, tuntutan nafkah idah, mutaah, nafkah dan tunggakan nafkah isteri, hak jagaan dan nafkah anak serta harta sepencarian.

Selain itu, khidmat nasihat berkaitan hibah dan faraid, iktiraf nikah dan nikah poligami serta hal-hal lain berkaitan hubungan suami isteri dalam perkahwinan.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti PGSM Melaka dan mengucapkan terima kasih atas inisiatif yang disediakan secara percuma kepada orang ramai yang memerlukan.

"Dengan adanya kerjasama dengan PGSM Melaka melalui Pengerusinya, Datuk Mohd Adli Ithnin diharapkan dapat membantu kerajaan negeri menangani masalah institusi kekeluargaan Islam di negeri ini secara lebih berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk maklumat lanjut, pasangan Islam di negeri itu boleh menghubungi PGSM Melaka di talian 016-6700 226. - Bernama