Ceroboh rizab Sungai Langat: JAS buka kertas siasatan

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka kertas siasatan berhubung kejadian pembuangan haram bahan kimia di rizab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang pada Selasa.

Ketua Pengarahnya, Norlin Jaafar berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan pemeriksaan di lokasi petang Selasa mendapati terdapat 21 tong berisi larutan cecair yang berbau seperti pelarut.

“Tiada tumpahan cecair dikesan di atas tanah semasa siasatan dan tidak kelihatan sebarang cecair mengalir di atas tanah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Norlin berkata, kawasan itu telah ditutup bagi mengelak sebarang kesan bahan kimia kepada orang awam, manakala sampel bahan kimia tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling (EIA) daripada aktiviti yang ditetapkan (penstoran luar tapak) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah.

“Siasatan turut membabitkan Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada Ketua Pengarah dan Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah.

“Pihak JAS sedang giat memburu pelaku yang bertanggungjawab terhadap insiden ini dan tangkapan akan dibuat ke atas orang yang disyaki dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: