Muzium Kota Tinggi dibuka pada Februari

Mohd Khuzzan Abu Bakar
Mohd Khuzzan Abu Bakar
A
A
A
KOTA TINGGI - Muzium Kota Tinggi yang sekian lama ditutup berikutan kerja-kerja baikpulih, akan dibuka semula kepada umum mulai Februari tahun hadapan dengan konsep dan wajah yang baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, muzium itu yang telah beroperasi sejak Mei 2012, ditutup mulai 1 November 2016, bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih bangunan termasuk kerja-kerja awam, elektrikal dan maknikal serta menaik taraf bahagian pameran.

“Kerja-kerja menaik taraf hiasan dalaman dan konsep pameran dimulakan sejak September 2018 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kos keseluruhan untuk penambahbaikan muzium tersebut yang berjumlah RM4 juta adalah daripada peruntukan kerajaan negeri dan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dilaksanakan.

Semalam, Mohd Khuzzan bersama jurutera daerah JKR Kota Tinggi Fakhrur Rezuan Mahamad dan Kurator Bahagian Pemuziuman Yayasan Warisan Johor, Wasfi Mirza Othman ke muzium berkenaan untuk melihat sendiri perkembangan kerja-kerja baik pulih muzium tersebut.
Artikel Berkaitan:


Berdasarkan lawatan itu, beliau amat berpuas hati dan mendapati semua kerja baikpulih berjalan lancar mengikut tarikh yang dtetapkan.

Menurut Mohd Khuzzan lagi, Muzium Kota Tinggi akan berwajah baharu dengan berkonsepkan galeri seni dengan memaparkan peristiwa-peristiwa bersejarah Kesultanan Johor Lama dalam bentuk ilustrasi dengan disokong oleh artifak-artifak yang berkaitan. - Bernama