Mabopa, MBA wujudkan Kedai Buku Shopee atasi masalah edar buku

Mabopa dan MBA mewujudkan portal Kedai Buku Shopee bagi menangani masalah pengedaran buku teks dan buku kerja di seluruh negara.
Mabopa dan MBA mewujudkan portal Kedai Buku Shopee bagi menangani masalah pengedaran buku teks dan buku kerja di seluruh negara.
A
A
A

PERSATUAN Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) mewujudkan portal Kedai Buku Shopee bagi menangani masalah pengedaran buku teks dan buku kerja di seluruh negara.

Inisiatif untuk menyediakan portal tersebut dengan dengan bantuan syarikat platform e-dagang, Shopee itu bertujuan bagi memudahkan ibu bapa untuk mencari dan mendapatkan buku-buku yang diperlukan pada satu platform khas.

Presiden Mabopa Arief Hakim Sani Rahmat berkata, bagi menjayakan inisiatif tersebut, pihaknya menyeru kepada semua ahli persatuannya untuk meningkatkan stok yang diperuntukkan bagi melakukan jualan dalam talian.

Menurutnya, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan penerbitan dan ketersediaan buku teks berkualiti di seluruh negara.

“Pada masa sama, kami menghubungi penjual buku dan pengedar kami untuk membincangkan cara-cara memudahkan penjualan buku pelajaran melalui Shopee.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak sepatutnya menjadi alasan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dihentikan. Pendidikan amat penting bukan hanya untuk ibu bapa tetapi juga untuk masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

Arief Hakim berkata, usaha yang dijalankan bagi menyelesaikan isu nasional tersebut telah mendapat bantuan dan kerjasama yang amat baik daripada Shopee melalui sokongan dan penyediaan infrastruktur.

Sementara itu, Presiden MBA Keith Thong berkata, pihaknya amat berterima kasih atas bantuan diberikan Shopee yang juga merupakan sebuah pasaran dalam talian yang mantap dan mesra buku.

Artikel Berkaitan:

Keith berkata, pihaknya sentiasa berusaha dan bersedia untuk memajukan diri bagi menawarkan perkhidmatan yang terbaik mengikut perkembangan teknologi pada masa kini.

“Ahli-ahli kami datang daripada latar belakang yang berbeza, dengan bidang pengkhususan dari buku terlaris, buku teks, buku rujukan, panduan penyemakan serta ebook dan kursus pembelajaran dalam talian.

“Untuk membantu generasi yang mahir dalam teknologi, kepantasan ‘on demand’ amat penting dan kini penjual buku sentiasa berusaha untuk memajukan diri bagi menawarkan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, selain daripada menyediakan portal Kedai Buku Shopee untuk ibu bapa, syarikatnya juga akan memberikan sokongan tambahan kepada komuniti dengan baucar pulangan tunai Syiling Shopee 20 peratus.

Ian berkata, beliau berharap usaha tersebut dapat membantu mengurangkan tekanan yang dilalui oleh ibu bapa serta mendorong pembelajaran anak-anak mereka kerana syarikatnya percaya bahawa bakat dapat dicungkil dan dikembangkan melalui pendidikan.

Pengguna yang mencari buku teks dan buku kerja di Shopee boleh mendapatkannya di https://shopee.com.my/kedaibukushopee.

Bagi murid sekolah, ibu bapa boleh menggunakan kod baucar ‘KEDAIBUKU10’ untuk mendapatkan pulangan tunai Syiling Shopee 20 peratus dengan nilai sehingga RM10 untuk pembelian buku-buku di bawah inisiatif ‘Kedai Buku Shopee’.