X

Kindly register in order to view this article
!

Letupan kuat, gegaran di Sabah berpunca daripada 'bola api'

Bunyi letupan dan gegaran kuat yang berlaku di Sabah pada Ahad lalu merupakan fenomena bola api yang memasuki ruang udara bumi.
A
A

KUALA LUMPUR - Bunyi letupan dan gegaran kuat yang berlaku di Sabah pada Ahad lalu merupakan fenomena bola api yang memasuki ruang udara bumi.

Perkara itu disahkan oleh International Meteor Organisation (IMO) dalam laporan yang dikeluarkan di laman sesawangnya baru-baru ini dengan kod peristiwa 632-2021.

Timbalan Pengarah (Pencerapan) Planetarium Negara, Zamri Shah Mastor berkata, peristiwa tersebut dirakamkan pada jam 11.04 pagi dan sebanyak lima laporan diterima berhubung bunyi letupan itu iaitu dua dari Sabah dan tiga dari Brunei.

Beliau berkata, kedudukan bola api tersebut ketika berlaku letupan adalah di Papar, Sabah dan daerah Muara, Brunei berdekatan Laut China Selatan.

"Ia telah disahkan oleh IMO. Saya yakin video dari Sabah mengesahkan fenomena itu sebenarnya satu kejadian bola api. Ia seperti meteor tapi jauh lebih besar.

"Meteor berbentuk halus tetapi bola api lebih besar dan boleh dilihat pada waktu siang juga. Ia mencapai kecerahan bulan separuh atau bulan purnama," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurutnya, menerusi laporan yang diterima daripada IMO, sebanyak 57 kejadian seumpama itu telah direkodkan tahun ini, dengan yang terbaharu di Bali, Indonesia, Januari lalu.

"Ia merupakan batu dari angkasa lepas, bergesel melanggar atmosfera bumi, bila panas menyebabkan ia terbakar, ia sama ada meletup di udara atau jatuh ke permukaan. Pecahan-pecahan itu kami jangkakan ada yang telah memasuki ruang udara bumi dan ada yang hangus di galaksi," katanya.

Ditanya kebarangkalian impak kerosakan yang boleh terjadi ekoran kejadian bola api, katanya, ia bergantung kepada saiz yang memasuki ruang udara bumi.

Sekiranya ia terlalu besar, ia akan menghasilkan fenomena ‘Sonic Boom’ atau letupan yang kuat seperti yang berlaku di Sabah, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan kerosakan atau impak yang berlaku berikutan kejadian itu.

Ahad lalu, penduduk sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Labuan digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran antara lima sehingga enam saat kira-kira jam 11 pagi hari berkenaan.

- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!