X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir bidas dakwaan Tommy Thomas

Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar kecil: Tommy Thomas
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas berkaitan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahukan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri sementara.

Beliau berkata, Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau meletak jawatan kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak nasihatnya untuk tidak keluar dari Pakatan Harapan (PH).

“Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Yang Dipertuan Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri sementara.

“Nama Dr Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri sementara,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Rabu.

Tambahnya, semasa beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun lepas, PH telah hilang majoriti.

Dr Mahathir berkata, meskipun beliau tidak menghantar surat peletakan Kabinet, namun apabila kerajaan PH tumbang, Kabinet turut bubar bersama kerajaan.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri.

“Kerajaan PH telah tumbang. Yang Dipertuan Agong tidak boleh lantik Dr Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebagai Pemangku Perdana Menteri.

“Sama seperti saya, dia juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Samalah juga dengan Kabinet,” jelasnya.

Terdahulu, Tommy mendakwa Dr Mahathir campur tangan dan berkeras ingin menjadi Perdana Menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong mencadangkan Dr Wan Azizah menyandang jawatan berkenaan.

Dalam pendedahan menerusi buku memoirnya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ Tommy turut menyifatkan Dr Mahathir sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!