Dua PKPD di Terengganu, satu di Perak mulai esok: Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan masing-masing dua di Terengganu dan satu di Perak bagi mengawal jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian pandemik itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan bermula esok (Khamis) dan diteruskan sehingga 17 Februari ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar di ketiga-tiga lokaliti terbabit.

“Bagi lokasi pertama di Felda Tersat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, 45 kes positif Covid-19 daripada 420 ujian saringan telah direkodkan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD bagi memudahkan pelaksanaan saringan secara bersasar yang melibatkan 583 penduduk di 198 buah rumah serta mengawal jangkitan dalam komuniti di Felda itu,” menurutnya dalam kenyataan akhbarmengenai perkembangan PKP pada Rabu.

Beliau berkata, satu lagi kawasan di Terengganu membabitkan tapak bina Kuarters TNB Kuala Berang, Hulu Terengganu yang mana sebanyak 62 kes positif Covid-19 daripada 386 ujian telah direkodkan.

Katanya, satu lagi PKPD membabitkan Felda Lasah dan Kampung Besi Api, Kuala Kangsar, Perak di mana KKM melaporkan bahawa 35 kes positif daripada 71 ujian saringan telah direkodkan di kedua-dua lokaliti.

Ismail Sabri juga berkata, seramai 611 individu ditahan polis pada Selasa atas kesalahan ingkar arahan SOP yang menyaksikan 601 orang dikompaun manakala 10 lagi direman.

Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (145), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (109), tiada penjarakan fizikal (107) dan gagal menyediakan peralatan merekod diri atau pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, dua pendatang tanpa izin berjaya ditahan manakala tiga kenderaan darat dirampas dalam Ops Benteng yang diadakan di seluruh negara dan membabitkan pelbagai agensi penguatkuasa.

Katanya, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di 49 tapak binaan seluruh negara pada Selasa pula mendapati hanya satu yang tidak mematuhi SOP. - Bernama