Perginya Jamali Shadat, tiada lagi keletah 'Atan'

Allahyarham Datuk Jamali Shadat, 78, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang selepas disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Pulau Indah hari ini.
 - Foto Bernama
Allahyarham Datuk Jamali Shadat, 78, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang selepas disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman Pulau Indah hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada lagi keletah “Atan”, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya apabila empunya suara yang memainkan peranan itu pergi buat selamanya hari ini (Rabu).

Pelawak legenda Datuk Jamali Shadat yang terkenal pada era 1970-an, berbakat dalam melontarkan suara dan membawa watak “Atan” dan datuknya, “Atok” serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia, meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada usia 78 tahun.

Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat mula mencipta nama sebagai pelawak komediri negara yang begitu unik selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1971 dan muncul dalam beberapa program televisyen termasuk Sendarama, Hiburan Malam Minggu dan Kuiz Kepintaran Anda.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa, Sikh dan Tamil dalam rutin lawak beliau, begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aksi bersahajanya di atas pentas bukan sahaja mengundang tawa penonton, malah sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan masyarakat dengan mengangkat isu semasa sebagai bahan ceritanya yang disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.

Jamali yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Bukit Kapar, Klang Selangor juga pernah membintangi beberapa filem antaranya “Hantu Siang” pada 1986, “Mr Cinderella 2” (2003), “Senario The Movie Episode 2: Beach Boys” (2009) dan “Semerah Cinta Stiletto” (2010).

Watak Atan yang meminjam suara emasnya juga pernah muncul dalam siri animasi terkenal Upin dan Ipin musim kesembilan pada 2015 yang disiarkan selama tiga episod.

Jamali juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Artikel Berkaitan:

Pada sekitar 1970-an, Jamali juga pernah menghasilkan album sketsa bersama pelawak veteran Hamid Gurkha.

Kesihatan bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan mula merosot sejak isterinya, Lela Yacob meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada 2018.

Jenazah Jamali dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, pada jam 4.15 petang Rabu. - Bernama