Terengganu salur insentif bantu 488 pemain sektor pelancongan

Penarik beca antara kumpulan yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan akan menerima insentif sebanyak RM400.
Penarik beca antara kumpulan yang terjejas teruk akibat Covid-19 dan akan menerima insentif sebanyak RM400.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyalurkan peruntukan sebanyak RM132,200 di bawah Insentif Pandemik Covid-19 (pelancongan) bagi membantu seramai 488 pemain sektor pelancongan di bawah enam kumpulan yang terjejas akibat Covid-19.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, enam kumpulan itu termasuk penarik beca, pengusaha bot penambang, pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pemandu pelancong, pemandu rumah bot (house boat) serta malim gunung.

Ariffin (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Ariffin (tengah) ketika sidang akhbar di Wisma Darul Iman pada Rabu.

"Sektor pelancongan antara sektor yang paling terjejas kerana melibatkan masalah ketiadaan pelancong susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan insentif permulaan kepada mereka bagi membantu meringankan beban memandangkan situasi semasa kes Covid-19 masih di tahap yang tinggi," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Ariffin berkata, sebanyak RM400 diperuntukkan kepada setiap seorang melibatkan seramai 50 penarik beca dan 18 pengusaha bot penambang.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM250 akan disalurkan kepada setiap 44 pemandu teksi lapangan terbang, 99 pemandu pelancong, 244 pemandu rumah bot serta 33 malim gunung.

Katanya, peruntukan itu akan disalurkan kepada semua penerima dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Semua pembayaran akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun penerima dan tempoh pembayaran dijangka paling cepat akan dibuat minggu hadapan," katanya.