Polis buru dua beradik dalang Macau Scam

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua beradik yang dipercayai dalang utama sindiket penipuan Macau Scam yang dibongkarkan Januari lalu akan diburu polis bagi memastikan kedua-duanya tidak melarikan diri keluar negara.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua beradik tersebut iaitu, Teow Ee Meng, 30 dan Teow Chee Chow, 32, dipercayai masih berada dalam negara.

Menurutnya, suspek utama pula iaitu bapa mereka, Teow Wooi Huat (Teddy Teow), 55, yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau disyaki sudah melarikan diri ke Danok, Thailand.

"Kita percaya mereka berdua ini masih berada di Malaysia. Mengikut maklumat yang diterima, mereka ini berhajat hendak serahkan diri.

"Kalau nak serah diri, serahlah diri awal. Saya yakin mereka tidak akan dapat lari," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.

Terdahulu pada sidang akhbar pada 3 Januari lalu, polis Johor membongkarkan modus operandi sindiket yang diketuai Teddy Teow dengan menggunakan beberapa akaun keldai untuk melakukan transaksi kewangan mereka bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Tambahnya, siasatan dijalankan mendedahkan penggunaan kaedah pembelian hartanah dan mata wang kripto sebagai platform bagi pengubahan wang haram sindiket tersebut.

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kediaman mewah bernilai RM336 juta selain disalurkan untuk jual beli mata wang kripto.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mendedahkan sejak Jun 2020, sindiket berkenaan telah menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat.

"Wang berkenaan dipercayai merupakan sebahagian daripada harga belian untuk pembelian 100 unit kondominium mewah dan unit komersil di Georgetown, Pulau Pinang," katanya.