X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 4,284 kes hari ini, 18 kematian

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 di dalam negara pada Rabu meningkat sebanyak 829 kes kepada 4,284 kes daripada 3,455 kes pada Selasa manakala kes kematian menurun kepada 18 berbanding 21 sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, enam merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 4,278 kes.

Selangor terus merekodkan jumlah kes baharu harian tertinggi iaitu 1,572 diikuti Johor (964 kes) dan Kuala Lumpur (651), menurut Dr Noor Hisham menerusi Twitter rasminya pada Rabu.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 pula meningkat kepada 226,912 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 48,309.

Kes yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula 307 dengan 141 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata kes kematian pada Rabu melibatkan lima kes di Selangor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Negeri Sembilan, dua kes di Perak, dan masing-masing satu kes di Melaka, Kelantan, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah.

Selain itu, 122 kes hari ini (Rabu) membabitkan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga dengan 54 kes, Kluster Tembok Pengkalan Chepa (41), Kluster Tembok Bukit Besi (14), Kluster Tembok Sungai Udang (lima), Kluster Penjara Seberang Perai (empat), Kluster Tembok Taiping (dua), Kluster Penjara Jalan Harapan (satu), dan Kluster DTI Sepang 2 (satu).

Jumlah keseluruhan kes baharu dan kematian kini masing-masing 226,912 dan 809, manakala bagi kes sembuh pula 177,794 kes selepas 3,804 kes dilaporkan pulih pada Rabu.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menyatakan 13 kluster baharu dikenal pasti, dengan 12 daripadanya berkaitan tempat kerja dan satu kluster pusat tahanan iaitu Tembok Pengkalan Chepa di Kelantan.

“Kluster di tempat kerja dinamakan Ladang Tangkarason, Bandar Lama dan Jalan Satu KKIP di Sabah, Jalan City dan Jalan Aman (Selangor), Jalan Pulai 55 dan Batu Tiga Setengah (Johor), Taman Koperasi dan Kandi Sungai Besi (Kuala Lumpur), Lebuh Karak (Pahang), Tapak Bina Presint Tujuh (Putrajaya) serta Mayang Pasir (Pulau Pinang).

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif kini 412, dengan 108 daripadanya merekodkan pertambahan kes baharu hari ini. Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (534 kes), Kluster Jalan Yahya (276 kes), dan Kluster Kebun Baru (63 kes),” katanya dalam kenyataan itu.

Jumlah kumulatif kluster setakat ini 851 kluster, manakala lima kluster dilaporkan tamat pada Rabu iaitu Kluster Ikan Emas; Kluster Tapak Bina Awan Lembah; Kluster Tenun Merah; Kluster Sugud dan Kluster Gerbang Pongs, menjadikan 439 kluster dilaporkan tamat. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!