Permohonan Peter Anthony pindah kes didengar 18 Mac

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan Datuk Peter Anthony untuk memindahkan kes menggunakan dokumen palsu yang dihadapinya daripada Mahkamah Sesyen di sini ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu akan didengar pada 18 Mac oleh Mahkamah Tinggi.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Peter, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah ketika dihubungi memaklumkan tarikh itu ditetapkan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin semasa sebutan kes pada Rabu.

“Datuk Peter kini berada di Sabah tetapi beliau akan hadir ke mahkamah (di sini) semasa pendengaran permohonan kes itu,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Francine Rajendran.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E) serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat itu bagi melaksanakan kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Jun tahun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah RISDA bernilai RM15,545,400. - Bernama