Naik kompaun langgar SOP pada syarikat, bukan individu

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kompaun RM1,000 kepada pesalah individu yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sudah memadai tetapi tidak kepada syarikat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana kegagalan syarikat mematuhi SOP boleh memberi kesan kepada keseluruhan pekerja.

“Memang ada cadangan dari Ketua Polis Negara dan menteri untuk naikkan jumlah kompaun. Tapi bagi saya cukuplah kerana rakyat sudah terkesan dengan teruk

“RM1,000 itu pun sudah cukup besar nilainya. Tapi kalau nilai kompaun dinaikkan terhadap syarikat yang tidak mengikut SOP, saya setuju,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Beliau berkata, tidak ada alasan untuk syarikat tidak mematuhi SOP kerana mereka telah dimaklumkan.

Jelas Aminuddin, mereka sepatutnya lebih sensitif untuk memerangi Covid-19 bagi memastikan operasi syarikat dapat terus berjalan seperti biasa.

“Kita perlu saling bantu membantu. Jadi saya harap pihak syarikat patuhi. Kalau kompaun nak dinaikkan biarlah kepada syarikat, kerana mereka ada duit nak bayar,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Sabtu berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aminuddin berpendapat memang ada keperluan untuk kerajaan melanjutkan tempoh PKP supaya rakyat lebih mematuhi SOP ditetapkan.

“Sebab itu kita minta Jawatankuasa Bencana untuk turun berjumpa komuniti bagi menerangkan tentang pematuhan SOP. Saya yakin selepas ini kawalan dan pematuhan itu lebih ketat,” katanya.