X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Terengganu cuba atasi masalah liputan internet lemah

Ariffin Deraman
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedia maklum akan masalah yang dihadapi pelajar khususnya yang berada di kawasan luar bandar dalam mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah liputan rangkaian internet bagi memastikan rakyat Terengganu termasuk pelajar mendapat perkhidmatan yang lebih baik.

Menurutnya, buat masa ini ada kira-kira 1,000 menara telekomunikasi di negeri ini, namun banyak yang perlu dinaik taraf kerana hanya mampu menampung perkhidmatan 2G dan 3G.

"Liputan rangkaian internet di kawasan kampung sebenarnya diuruskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan saya difahamkan mereka kini sedang menaik taraf liputan daripada 2G dan 3G kepada 4G.

"Banyak lokasi yang sedang diuruskan pihak SKMM termasuk membangunkan menara baru dengan rangkaian 4G, namun untuk selesaikan dalam masa terdekat, kita ada kekangan termasuk daripada segi kos.

"Seperti masalah yang dihadapi penduduk di Kampung Payong, Setiu dan beberapa kawasan luar bandar, kita sedia maklum apatah lagi kini pelajar mengikuti sesi PdPR kerana Covid-19 dan kita memikirkan beberapa alternatif lain untuk menangani isu ini dalam jangka masa pendek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesukaran untuk mendapatkan liputan rangkaian internet menyebabkan lebih 100 pelajar di Kampung Payong, Setiu menjadikan sebuah bangsal usang di dalam kebun sawit dan tempat rehat kawasan perkelahan untuk mengikuti PdPR.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangsal usang jadi 'kelas' lebih 100 pelajar

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi menyediakan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) sementara di masjid.

"Di Terengganu, kita ada 38 Pintar di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri, namun ditutup sementara kerana pandemik Covid-19.

"Jadi, buat permulaan kita akan menggunakan lima masjid di setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) bagi membantu pelajar mendapat capaian internet yang lebih baik dan dalam keadaan selesa," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!