Kedah benar aktiviti keagamaan, majlis ilmu di tiga zon

(JHEAIK) membenarkan program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau di zon hijau, kuning dan jingga diadakan di premis tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari depan. Gambar hiasan
(JHEAIK) membenarkan program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau di zon hijau, kuning dan jingga diadakan di premis tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari depan. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) membenarkan program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau di zon hijau, kuning dan jingga diadakan di premis tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari depan.

Pengarah JHEAIK, Mohd Yusri Md Daud bagaimanapun berkata, kebenaran aktiviti berkenaan hanya terhad kepada kuliah maghrib dan majlis bacaan Yassin pada hari Khamis malam Jumaat dalam skala kecil sahaja.

Menurutnya, program keagamaan berkenaan juga hanya dibenarkan dilaksanakan tidak melebihi tempoh 45 minit dan khusus untuk anak kariah masjid tersebut dengan mematuhi normal baharu dan protokol kesihatan selain sebarang ketetapan digariskan pihak berkuasa.

"Sebarang program keagamaan dan majlis ilmu di kawasan zon merah, berskala besar serta melibatkan jemputan rentas negeri sama sekali tidak dibenarkan dilaksanakan di Kedah.

"Kita juga tidak membenarkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan di masjid serta surau seperti jamuan, gotong-royong, kenduri dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusri berkata, aktiviti pengurusan jenazah bukan Covid-19 dibenarkan dan solat jenazah bagi zon hijau, kuning dan jingga hanya terhad kepada pegawai atau jawatankuasa masjid, ahli keluarga si mati dan anak kariah sahaja mengikut ruang solat utama masjid dengan penjarakkan fizikal.

"Kita juga membenarkan solat jenazah untuk zon merah tetapi ia tidak boleh melebihi 20 orang dengan penjarakkan terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga si mati sahaja,"katanya.

"Pengurusan jenazah di perkuburan seperti pengebumian, talqin dan doa adalah tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai atau jawatankuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita turut membenarkan aktiviti ziarah kubur untuk tiga zon kecuali zon merah manakala bilangan maksimum 50 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid,"katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, solat fardu jemaah kini dibenarkan kepada kepada pegawai atau jawatankuasa masjid dan surau serta anak kariah dengan tidak melebihi 20 orang, yang mana pihak jawatankuasa hendaklah memastikan tiada lagi pergerakan keluar masuk premis itu jikalau mencapai bilangan maksimum jemaah ditentukan.

Katanya, jawatankuasa masjid dan surau bertanggungjawab membuat ketetapan bersesuaian berkaitan pemilihan anak kariah yang dibenarkan dan hal ehwal pengurusan jemaah dalam memastikan kelancaran pelaksanaan ibadah solat Jumaat serta solat fardu berjemaah di premis itu.

"Antara ketetapan, jemaah memiliki gejala, berisiko ataupun menghidap penyakit kronik dan berusia bawah 12 tahun kecuali dari zon hijau dan kuning tiak dibenarkan untuk solat di masjid dan surau itu," katanya.

Tambah beliau, mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan serta kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta merta.