Peniaga 'food truck' cadang operasi hingga 12 malam

Peniaga kendera saji (food truck) mencadangkan supaya kerajaan membenarkan operasi perniagaan sehingga 12 tengah malam dan pelanggan dibenar makan di premis dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Peniaga kendera saji (food truck) mencadangkan supaya kerajaan membenarkan operasi perniagaan sehingga 12 tengah malam dan pelanggan dibenar makan di premis dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
A
A
A

PUTRAJAYA - Peniaga kendera saji (food truck) di Presint 2 dan Presint 15 di sini mencadangkan supaya kerajaan membenarkan operasi perniagaan sehingga 12 tengah malam dan pelanggan dibenar makan di premis dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Cadangan itu disampaikan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid yang membuat tinjauan ke dua tapak 'food truck' itu, malam semalam dan pengusaha menyatakan rasa sukar untuk mengekalkan momentum perniagaan dalam tempoh mencabar sekarang.

Rosol dalam kenyataan pada Rabu berkata beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan penilaian dilakukan dan langkah sewajarnya diambil bagi mengatasi isu tersebut.

"Saya yakin, sebagai kerajaan yang prihatin, pihak yang berwajib akan memperhalusi cadangan berkenaan kerana isu bebanan survival perniagaan khususnya bagi peniaga kecil bukan hanya berlaku di Putrajaya, tetapi juga di seluruh negara," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya tamat pada 4 Feb, dilanjutkan sehingga 18 Feb di seluruh negara kecuali di Sarawak, berikutan berlakunya trend peningkatan kes baharu Covid-19 di semua negeri.

Kerajaan membenarkan kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran makanan untuk beroperasi sehingga pukul 10 malam bermula 22 Januari lepas, bagaimanapun aktiviti makan di kedai masih tidak dibenarkan dan hanya pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu dibenarkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: