Kedai cetak baju buang sisa kimia dalam longkang disita

Premis pencetakan baju telah disita pada Selasa dan akan dikenakan tindakan oleh pihak MPKj dan agensi di bawah kerajaan negeri Selangor.
Premis pencetakan baju telah disita pada Selasa dan akan dikenakan tindakan oleh pihak MPKj dan agensi di bawah kerajaan negeri Selangor.
A
A
A

KAJANG - [DIKEMASKINI] Sebuah kedai pencetakan baju di Kajang Perdana di sini disita kerana membuang sisa bahan kimia terus ke dalam longkang.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pembuangan sisa kimia ke dalam longkang oleh premis tersebut.

Beliau yang turun padang melihat keadaan premis beroperasi selama 10 tahun itu berkata, pemilik premis tidak merawat sisa kimia dari premis itu dan terus membuangnya ke dalam longkang.

Menurutnya, tindakan menyita premis ini telah dilaksanakan pada Selasa dan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengambil tindakan kepada pemilik kilang tersebut.

Sisa bahan kimia yang tidak dirawat dibuang ke dalam longkang.
Sisa bahan kimia yang tidak dirawat dibuang ke dalam longkang.

"Siasatan telah dijalankan pada Selasa dan antara bahan kimia yang dibuang ke dalam longkang ialah penipis cat (thinner) dan cat berwarna yang digunakan untuk membuat pakaian.

"Walaupun ia tidak memberi gangguan di loji kumbahan, namun ia berpotensi untuk mencemarkan sungai," katanya pada Rabu.

Katanya, pesalah akan diambil tindakan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2008 Seksyen 61, yang mana pesalah akan dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Pesalah juga akan diambil tindakan oleh pihak MPKj, yang mana pesalah akan dikompaun sebanyak RM1,000 dan lesen perniagaan akan ditarik," katanya.