X

Kindly register in order to view this article
!

Rizab Sungai Langat diceroboh lagi

Pihak Jabatan Air Selangor (JAS) mengambil sampel sisa bahan kimia untuk dibawa ke makmal kajian.
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Pengawasan yang longgar di rizab Sungai Langat di sini menjadi punca pihak tidak bertanggungjawab membuang sisa bahan kimia di tepi sungai.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, walaupun kawasan tersebut mudah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab, namun pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan mengeluarkan notis kepada mereka yang didapati bersalah menceroboh kawasan itu.

Hee Loy Sian (kiri) meninjau kawasan Rezab Sungai Langat, yang mana sisa bahan kimia dibuang.
Hee Loy Sian (kiri) meninjau kawasan Rezab Sungai Langat, yang mana sisa bahan kimia dibuang.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air negeri Selangor dan menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

"Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.

"Ganjaran sehingga RM20,000 akan diberikan kepada orang awam yang melaporkan kes pencemaran sungai apabila suspek berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman," katanya di sini pada Rabu.

Loy Sian yang turun padang di sini melihat kawasan sekitar berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada MPKj berhubung penemuan tapak pembuangan haram sisa bahan kimia dan berpotensi mendatangkan pencemaran di sini.

Beliau berkata, laporan dibuat oleh orang awam yang beriadah kepada pihak MPKj pada beberapa hari lalu mendapati terdapat beberapa tong yang dibuang di sini disyaki mengandungi sisa bahan kimia.

"Pihak LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan MPKj telah menemukan 13 tong besar yang mengandungi bahan berbau seakan bahan pelarut (solvent) dan enam tong kecil berisi cecair bahan kimia berbau seakan penipis cat (thinner).

"Siasatan juga mendapati keadaan di tebing sungai berdekatan tiada tumpahan bahan sisa kimia yang mengalir masuk ke Sungai Langat dan tiada kesan bau solvent di sini," katanya.

Katanya, tindakan akan diambil di bawah Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, apabila disabitkan kesalahan, pesalah hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!