Kerajaan wajar sokong usaha Ebit Lew

Farkhan Haron
Farkhan Haron
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan wajar menyokong usaha Ebit Lew yang ingin membangunkan tiga sekolah dalam usaha dakwahnya di Semporna, Sabah.

Ikon Belia Negeri Johor, Farkhan Haron berkata, walaupun kawasan tersebut dalam kategori bahaya terutama ancaman lanun, usaha murni pendakwah terkenal itu perlu dibantu dan diberi sokongan penuh.

"Kami sebagai anak muda di Johor sentiasa mengikuti perkembangan dan menyokong usaha Ustaz Ebit Lew dalam memberikan dakwah dan bantuan secara luar biasa di seluruh negara. Usaha ini sepatutnya mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira kaum di negara ini.

"Kita sepatutnya perlu menggalakkan lebih banyak usaha anak muda seperti ini yang berkorban masa dan wang ringgit dalam waktu sukar sebegini dengan memberikan kapasiti sokongan dalam usaha beliau," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ebit Lew dalam Facebook rasminya pada Selasa melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan Covid-19 di pulau sekitar Semporna atas faktor keselamatan dan jika ingkar akan didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Ebit Lew bertemu dengan penduduk di sebuah pulau di Semporna, Sabah, semasa menyampaikan bantuan Covid-19 selain bercadang membina tiga buah sekolah untuk anak-anak Bajau Laut.
Ebit Lew bertemu dengan penduduk di sebuah pulau di Semporna, Sabah, semasa menyampaikan bantuan Covid-19 selain bercadang membina tiga buah sekolah untuk anak-anak Bajau Laut.

Sebelum itu, beliau menyampaikan bantuan di beberapa pulau di daerah itu dan bercadang membina tiga buah sekolah dengan enam guru untuk mengajar kemahiran asas 3M (menulis, membaca, mengira), asas Islam, akhlak dan kasih sayang.

Berikutan perkembangan itu, Ebit Lew menangguhkan hasrat membina sekolah dan pada masa sama mendedahkan seramai 490 orang Bajau Laut di daerah itu diislamkan dalam tempoh dua hari di Semporna.

Artikel Berkaitan:

Farkhan yang juga peninju profesional negara berkata, jika usaha seperti itu tidak disokong secara serius dibimbangi ramai anak muda akan takut menyumbang dalam usaha memulihkan negara ketika ini.

"Anak muda Johor sentiasa menyokong usaha ikon muda Malaysia, Ustaz Ebit Lew membantu dan menyebarkan dakwah dan kasih sayang.

"Kami harap semua pihak berikan sokongan kerana pepatah pernah menyatakan jika ingin melihat negara pada masa hadapan, maka lihatlah sokongan kepada anak mudanya pada masa sekarang," katanya.