Empat terjun ke laut, tinggalkan 200kg ikan

Bot pam yang ditinggalkan oleh empat individu yang terjun ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Bot pam yang ditinggalkan oleh empat individu yang terjun ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 200 kilogram ikan serta peralatan bahan letupan disyaki digunakan untuk mengebom ikan dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam Ops Naga Timur di perairan Pulau Gaya pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, empat kru sebuah bot pam bertindak terjun ke laut dan melarikan diri dengan berenang ke kawasan daratan.

Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, rampasan dibuat ketika sepasukan anggotanya bersama bot peronda Maritim sedang melaksanakan Operasi Sejahtera dan Operasi Naga Timur di sekitar perairan Kota Kinabalu.

"Sebuah bot pam dikesan dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Gaya dan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, empat kru bot terbabit bertindak melarikan diri dengan berenang ke daratan berhampiran.

Ikan yang dirampas dipercayai ditangkap dengan kaedah menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu.
Ikan yang dirampas dipercayai ditangkap dengan kaedah menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

"Pemeriksaan terhadap bot pam yang ditinggalkan itu berjaya menemui kira-kira 200 kilogram ikan pelbagai jenis serta peralatan bahan letupan yang disyaki digunakan untuk mengebom ikan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, bot pam dan barang rampasan dibawa ke Jeti Maritim Kota Kinabalu, Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Aktiviti mengebom ikan ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang laut negara malah memberi kesan buruk terhadap ekosistem laut kerana boleh memusnahkan batu karang yang menjadi habitat kepada ikan kecil dan kehidupan marin yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, seksyen 26 iaitu menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM6 juta bagi setiap kru," katanya.