Rasuah: Isa Samad dihukum penjara enam tahun, denda RM15.45 juta

Isa Samad
Isa Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes rasuah RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching pada tujuh tahun lalu.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Isa Samad dipenjara selama enam tahun.

Mahkamah turut memerintahkan Isa Samad dihukum penjara 18 tahun jika gagal membayar denda.

Namun, mahkamah membenarkan bekas Pengerusi Felda untuk menangguhkan kesemua hukuman penjara dan denda sehingga rayuan dengan syarat iaitu jumlah jaminan dinaikkan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan ia perlu dilunaskan sebelum jam 2 petang, esok.

Selain itu, Isa Samad juga diarah untuk melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan.

Ketika membaca keputusan penghakiman lebih sejam bermula jam 9.49 pagi, Mohd Nazlan berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa penerimaan wang suapan oleh tertuduh seperti dalam sembilan pertuduhan tersebut adalah dilakukan secara rasuah sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan.

Menurutnya, pembelaan tertuduh bersifat pemikiran terkemudian, tidak konsisten dan hanyalah penafian tanpa sokongan yang berasas atau yang boleh dipercayai.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah juga mendapati pembelaan tertuduh mengenai saksi pendakwaan ke-21, bekas pegawai khas politik Mohd Isa, Muhammad Zahid Md Arip yang merupakan saksi berkepentingan telah membabitkan tertuduh di dalam kes ini, adalah difikirkan kemudian.

“Naratif yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan bahawa wang suapan adalah rancangan konspirasi oleh saksi lain termasuk Muhammad Zahid atas dasar keperluan untuk ‘political funds’ yang sebenarnya diseleweng oleh mereka yang berkomplot berkongsi habuan wang komisen hasil daripada penjualan MPHS dan menjadikan tertuduh sebagai mangsa adalah langsung tidak bermerit.

“Mahkamah tidak menerima teori itu, tiada keterangan termasuk oleh saksi pembelaan yang membayangkan perkara ini sebenarnya telah berlaku,” katanya.

Terdahulu, Isa Samad dalam rayuannya melalui peguam, Datuk Salehuddin Saidin memohon agar dikenakan hukuman penjara dalam tempoh yang singkat dan berjalan serentak.

Salehuddin berkata, ia perlu mengambil kira usia anak guamnya, selain kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes ini berlangsung.

Katanya, Isa Samad merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun, bekas Menteri Kabinet, bekas Pengerusi Felda dan bekas Ahli Parlimen Jempol.

“Sumbangannya kepada negara dan masyarakat tidak ternilai banyaknya dan jasa beliau amat diingati oleh penduduk terutama di Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isa Samad didapati bersalah terima rasuah RM3 juta

“Tiada elemen salah guna kuasa yang dilakukan oleh anak guam saya dan pembelian hotel itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang dan keputusan dibuat oleh semua Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan itu tidak membabitkan ramai mangsa atau menyebabkan kerugian kepada siapa-siapa.

Katanya, kini Isa Samad berstatus pesara dan tiada sumber pendapatan lain kecuali wang pencen.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda empat kali ganda nilai suapan.

Menurutnya, pendakwaan memohon agar mahkamah mengambil kira keseriusan jenayah rasuah yang mana ia adalah jenayah kolar putih yang lebih serius daripada kes bunuh, rompak, rogol atau pecah amanah.

“Tertuduh tidak menunjukkan rasa menyesal dan insaf dengan kesalahan yang dilakukan, sedangkan mahkamah membuktikan bahawa beliau adalah dalang di sebalik kejadian rasuah tersebut,” katanya.

Mohd Isa, 72, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.