Pembantu awam mengaku salah terima rasuah lepaskan anjing

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pembantu awam yang bertugas di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) didenda RM1,000 dan dipenjara selama sebulan selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM200 pada November tahun lalu.

Tertuduh, Michael Anthony, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(A), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan turut didakwa atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Michael yang bertugas di pusat kurungan haiwan di sebuah PBT telah meminta wang berkenaan sebagai balasan bagi melepaskan dua ekor anjing milik pengadu yang ditangkap kerana berkeliaran di tempat awam.

Sewaktu menjatuhkan hukuman, Rozilah menasihati tertuduh agar tidak lagi mengulangi kesalahan berkenaan dan berharap agar dia insaf selepas ini memandangkan jumlah suapan diterimanya lebih kecil berbanding hukuman maksimum yang bakal dikenakan ke atasnya sekiranya sabit kesalahan.

Selain itu, Rozilah turut mengingatkan tertuduh bahawa dia masih mempunyai tanggungjawab untuk menanggung seorang isteri dan tiga cahaya mata.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan insaf serta bersetuju membuat bayaran denda itu.

Artikel Berkaitan: