Maqis patahkan cubaan eksport makanan laut tanpa permit ke Singapura

Maqis merampas pelbagai hasil laut selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori di laluan KSAB, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri pada Selasa.
Maqis merampas pelbagai hasil laut selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori di laluan KSAB, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menggagalkan cubaan membawa keluar pelbagai jenis makanan laut tanpa permit eksport yang sah ke Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang, di sini pada Selasa.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pelbagai jenis ikan basah, sotong, udang dan isi ikan yang semuanya seberat 4.2 tan metrik ditemui pada jam 11 malam selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori di laluan kenderaan berat di KSAB.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan pelbagai hasilan laut seperti ikan kerapu, udang, sotong dan sebagainya yang dianggarkan bernilai RM92,760 berjaya dijumpai sekali gus dirampas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Susulan itu katanya, pihak Maqis mengambil keterangan pemandu lori berkenaan yang berusia 45 tahun sebelum membebaskannya.

Katanya, perbuatan mengeksport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Jelas beliau, kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Maqis katanya, sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Artikel Berkaitan: