Mudahkan orang awam dapatkan permit

Ahmad Faizal mengulas isu berkenaan pada sidang media, hari ini.
Ahmad Faizal mengulas isu berkenaan pada sidang media, hari ini.
A
A
A
IPOH - Jabatan Perhutanan Perak diminta mencari kaedah lebih praktikal bagi memudahkan orang awam mendapatkan permit masuk ke kawasan hutan simpanan kekal (HSK).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu bagi menjamin keselesaan pelancong yang mengunjungi kawasan itu bagi tujuan riadah atau eko-pelancongan.

Menurutnya, berbanding kelulusan permit yang hanya boleh dibuat di pejabat perhutanan daerah, adalah lebih baik jika pengeluaran permit itu dipermudahkan sama ada dilakukan di kawasan terlibat atau mendapatkan kerjasama dengan agensi lain.

"Adalah satu kesalahan masuk tanpa permit, tetapi kerajaan bersikap baik selama ini tanpa ambil sebarang tindakan.

"Jadi sekarang apabila ada pembalak haram dan yang berlesen menggunakan jalan dilalui orang kampung hingga rosak, penguatkuasaan perlu dilakukan jabatan perhutanan menerusi kelulusan permit termasuk kepada pelancong.

"Saya berpandangan perkara ini boleh diselesaikan menggunakan pendekatan berbeza," katanya ketika mengulas video tular membabitkan sekumpulan pelancong berdepan sekatan di Hutan Simpan Piah di Kuala Mu, Sungai Siput.

Beliau berkata, perbincangan awal telah pun dibuat bersama Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohamed Zin Yusop berhubung perkara itu.

Katanya, sebagai langkah permulaan, jabatan boleh berbincang bersama penduduk atau pengusaha (pelancongan) di Kuala Mu mendapatkan kaedah terbaik seperti membuka permohonan permit secara atas talian.

"Penguatkuasaan kita perlu adakan dalam usaha kita menjaga hutan, hanya kaedah itu yang penting, kena cari jalan yang boleh memudahkan semua pihak," katanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Mohamed Zin dalam satu kenyataan memaklumkan, kelulusan permit itu untuk memastikan orang awam yang masuk ke kawasan HSK dipantau dan dikawal terutama daripada aspek keselamatan.