RSS: Pelabur runcit di Bursa Malaysia tersepit

Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia meningkat drastik sepanjang berlakunya pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu. - Gambar hiasan.
Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia meningkat drastik sepanjang berlakunya pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan ramai pelabur runcit terutamanya dalam kalangan Bumiputera di Bursa Malaysia, bakal tersepit sekiranya berlaku penurunan harga berleluasa di pasaran berikutan kegiatan jualan singkat terhad atau Restricted Short Selling (RSS).

Mereka berkata, perkembangan ini tidak mustahil kerana sudah ada tanda-tanda harga saham di Bursa Malaysia jatuh dan pihak yang memahami perkara berkenaan mengaitkannya dengan kegiatan RSS.

Pandangan ini bercanggah dengan kenyataan Bursa Malaysia yang berpendapat, kegiatan RSS di negara ini mempunyai kawalan tertentu yang mampu menjamin urus niaga yang teratur dan mengelak pasaran tidak menentu seperti yang berlaku di Wall Street baru-baru ini.

Bursa Saham New York beberapa minggu lalu menyaksikan pelabur runcit digerakkan melalui media sosial untuk melonjakkan harga saham bagi menghukum pelabur besar yang mengambil posisi 'jualan singkat' untuk melihat harga saham jatuh.

Urus niaga jualan singkat atau 'short selling' ialah satu kaedah di mana pelabur menjual saham yang dia tidak dimiliki pada masa beliau menjualnya dengan harapan harga saham itu akan turun dan seterusnya membeli saham itu kembali pada harga rendah untuk meraih keuntungan.

Bercakap kepada Sinar Harian, bekas Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi) Huda Ikhwan berkata, impak RSS mula dirasai sejak dua minggu lalu di mana harga saham jatuh dengan ketara dan memandangkan pada masa ini kehadiran pelabur runcit di pasaran adalah begitu banyak sekali, sudah tentu mereka merasai kesannya.

Ini berlaku kerana mereka, terutama sekali pelabur runcit Bumiputera, masih terlalu baharu di pasaran dan tidak memahami implikasi RSS, katanya.

Penyertaan pelabur runcit di Bursa Malaysia meningkat drastik sepanjang berlakunya pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi menunjukkan hal ini, pada 31 Mei 2020 terdapat 30 peratus peningkatan pembukaan akaun CDS dalam kalangan pelabur runcit dengan jumlah penyertaan urus niaga paling tinggi pada 45.9 peratus pada Ogos 2020 berbanding hanya 24.5 peratus pada 2019.

Pengaruh media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Telegram serta kelahiran ramai wakil peniaga saham; remisier atau dealer Bumiputera yang mempunyai kelayakan profesional terutamanya dalam bidang analisis teknikal, menarik ramai pelabur runcit muda Bumiputera melabur di Bursa Malaysia.

Namun, sejak beberapa minggu ini ada laporan menyatakan sudah timbul pula usaha menggerakkan pelabur runcit ini melalui media sosial di sini seperti yang berlaku di Wall Street untuk 'menghukum' pelabur besar dengan melonjakkan harga saham tertentu.

Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti pada Jumaat lalu menasihatkan pelabur agar berhati-hati dengan saranan dalam 'chatrooms' media sosial yang cuba mempengaruhi pelabur runcit menjual atau membeli saham tertentu berdasarkan spekulasi atau khabar-khabar angin.

Kedua-dua pihak berkuasa itu mengingatkan saranan sedemikian mungkin melanggar peraturan dan jika sabit kesalahan boleh berdepan dengan denda tidak melebihi RM10 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seorang remisier dengan sebuah syarikat broker saham di Subang Jaya, yang meminta namanya tidak didedahkan berkata, walaupun kegiatan RSS mempunyai kebaikan seperti menambahkan kecairan, tetapi harus diakui ia mempunyai kesan sampingan seperti jualan paksa oleh bank akibat panggilan margin (margin call) terhadap pelabur berikutan kejatuhan harga saham.

Beliau berkata, lebih malang lagi ada kemungkinan seseorang pemilik yang telah mengusahakan syarikatnya bertahun-tahun tiba-tiba kehilangan penguasaan terhadap syarikat mereka dan dalam sekelip mata syarikat berubah ke tangan orang lain.

Pemilik ini yang dalam kalangannya adalah pengusaha Bumiputera yang telah menggunakan saham milik mereka sebagai sandaran untuk mendapatkan pinjaman, akan berdepan dengan situasi saham mereka itu dijual paksa oleh bank apabila harganya jatuh di bawah paras yang tidak lagi mampu memberi jaminan pinjaman bank dapat dibayar balik.

Sementara itu, Huda berkata, kebanyakan penggiat pasaran yang berpengalaman walaupun pernah menikmati keuntungan besar pada 1993, tidak pernah lupa kerugian berlipat ganda ekoran pasaran merudum pada 1994, kejatuhan besar Asia 1998 akibat kegiatan jualan singkat oleh selling pelabur asing di pasaran tempatan, dan kejatuhan besar 2009.

Beliau berkata, sebagai pihak yang sudah lama bergiat dalam pasaran saham adalah sangat merisaukan memikirkan cara untuk melindungi pelabur muda Bumiputera yang baru saja mengenali dunia pasaran saham ini daripada terpaksa menanggung kerugian besar sekiranya pasaran merudum berulang.

Walaupun dilarang di Bursa Malaysia pada 24 Mac tahun lalu berikutan ketidaktentuan pasaran yang dibawa oleh pandemik Covid-19, kegaitan RSS dibenarkan kembali perlaksanaannya pada 1 Januari 2021.

Daripada 929 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, 218 atau 23 peratus daripadanya dibenarkan untuk diurusniagakan secara RSS dengan senarai syarikat dikemas kini setiap enam bulan.

Bagaimanapun, urusniaga jualan singkat pada hari yang sama atau 'Intra-day short selling (IDSS)' masih dilarang.