Polis lepas tembakan, suspek pecah rumah cuba langgar anggota

Foto yang tular di media sosial berkenaan kejadian polis menembak tayar kereta dinaiki dua suspek pecah rumah sebelum berjaya memberkas seorang daripadanya di Penggeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada Selasa.
Foto yang tular di media sosial berkenaan kejadian polis menembak tayar kereta dinaiki dua suspek pecah rumah sebelum berjaya memberkas seorang daripadanya di Penggeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebuah kereta jenis Honda Stream dinaiki dua suspek pecah rumah di Penggeli Timur, Bandar Tenggara dekat sini pada Selasa.

Kejadian berlaku jam 2.30 petang ketika anggota polis mengejar kereta berkenaan selepas mereka melakukan pecah rumah di kawasan Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku semasa sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berjaya mengesan kereta suspek.

"Dalam cubaan anggota polis menahan kenderaan tersebut, suspek yang memandu kereta itu secara agresif cuba melanggar anggota polis menyebabkan seorang anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta.

"Tujuannya untuk memberhentikan kenderaan tersebut yang mendatangkan ancaman bahaya kepada anggota polis pada waktu itu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu.

Foto-foto berkenaan kejadian tersebut tular di media sosial pada Selasa yang dikaitkan dengan insiden tembak menembak antara polis dan suspek.

Hussin berkata, kedua-dua suspek cuba melarikan diri meninggalkan kereta tersebut apabila tayarnya pancit.

Bagaimanapun katanya, menerusi bantuan orang awam, seorang suspek berjaya dikesan dan ditangkap di kawasan longkang di Penggeli Timur iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 35 tahun mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis turut berjaya mengesan kereta suspek yang ditinggalkan kira-kira 200 meter dari tempat tangkapan dibuat.

"Pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis syabu dan pihak polis sedang mengesan seorang lagi rakan suspek yang berjaya melarikan diri.

"Tiada kecederaan melibatkan anggota polis dan orang awam dalam kes ini," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.