United berpesta gol di Old Trafford

Barisan pemain United meraikan kemenangan besar ke atas Southampton di Old Trafford awal pagi Rabu.
Barisan pemain United meraikan kemenangan besar ke atas Southampton di Old Trafford awal pagi Rabu.
A
A
A

MANCHESTER United bagaikan dirasuk apabila membelasah Southampton dengan kemenangan 9-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Rabu.

Southampton terlebih dulu tersentak apabila pemain muda, Alexandre Jankewitz terpaksa meninggalkan padang selepas menerima kad merah seawal minit kedua.

Pesta gol United bermula menerusi jaringan tonggak pertahanan, Aaron Wan-Bissaka pada minit ke-18 sebelum Marcus Rashford menambah gol kedua The Red Devils tujuh minit kemudian.

Southampton terus tertekan apabila Jan Bednarek 'menghadiahkan' gol ketiga United pada minit ke-34 sebelum penyerang berpengalaman, Edinson Cavani menambah gol keempat tuan rumah berselang lima minit kemudian.

Bersambung babak kedua, United terus berpesta apabila menambah lima lagi jaringan menerusi dua gol sumbangan Anthony Martial pada minit ke-69 dan 90; Scott McTominay (71); penalti Bruno Fernandes (87) dan Daniel James pada masa kecederaan.

Fernandes menyempurnakan sepakan penalti itu selepas Bednarek diarah keluar padang, sekali gus menyaksikan Southampton terpaksa beraksi dengan sembilan pemain menuju penghujung perlawanan.

Dengan kemenangan itu, United kini berjaya menyamai rekod kemenangan terbesar dalam saingan EPL yang sebelum ini dicipta Leicester City ketika membenam Southampton 9-0 di Stadium King Power musim lalu.

Sebagai rekod, The Red Devils juga pernah merakamkan kemenangan dengan jumlah jaringan sama ketika menewaskan Ipswich pada 1995.

Artikel Berkaitan: