Musim banjir, PKP pengaruhi harga sayur di pasaran

Harga sayur-sayuran di Pasar Bandar Marang masih stabil walaupun berlaku sedikit kenaikan.
Harga sayur-sayuran di Pasar Bandar Marang masih stabil walaupun berlaku sedikit kenaikan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Harga sayur-sayuran di sekitar Terengganu masih stabil walaupun berlaku sedikit kenaikan dan penurunan harga.

Tinjauan di Pasar Bandar Marang mendapati sesetengah sayuran naik harga disebabkan kekurangan bekalan susulan banjir baru-baru ini selain permintaan meningkat.

Peniaga, Siti Syawaliah Ali, 34, berkata, harga sayur yang dijual di pasar itu turun naik sejak beberapa minggu lalu.

“Harga tomato misalnya naik antara RM8 ke RM10 sekilogram berbanding RM7 sebelum ini. Sayur kubis juga naik kepada RM5 sekilogram, sebelum ini RM4. Harga terung naik kepada RM8 manakala kacang panjang RM10 sekilogram.

“Bagaimanapun, harga salad turun kepada RM15 sekilogram berbanding RM20 sebelum ini manakala harga kunyit juga turun kepada RM8 sekilogram berbanding RM10 sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Zemas Deraman, 61, berkata, turun naik harga sayur-sayuran adalah perkara biasa selepas musim banjir.

Begitupun katanya, permintaan pelanggan tidak terjejas kerana kenaikan harga hanya sedikit dan melibatkan beberapa jenis sayuran.

“Harga lobak merah misalnya tidak naik, iaitu RM4 sekilogram, begitu juga timun berharga RM2 sekilogram dan saya jual dengan harga RM5 bagi tiga kilogram timun.

Artikel Berkaitan:

“Harga tomato naik sedikit iaitu RM6 sekilogram, berbanding sebelumnya antara RM4.50 hingga RM5 sekilogram. Cili api V6 juga meningkat RM30 sekilogram, berbanding RM24 mungkin atas faktor tukaran wang kerana ia diimport dari Vietnam,” katanya.

Di KELANTAN, harga beberapa jenis sayur dan buah-buahan yang dijual di daerah ini didapati sedikit mahal berbanding biasa.

Tinjauan di beberapa pasar mendapati peningkatan harga sekitar 50 sen sehingga RM1 untuk satu kilogram membabitkan barangan tertentu.

Seorang peniaga di Pasar Siti Khadijah, Syarifah Yakob, 59, berkata, harga sayur meningkat sejak awal pelaksanaan PKP dan bertambah mahal ketika musim banjir.

Menurutnya, harga sekilogram sawi sebelum ini dijual RM3, tetapi sejak PKP dan banjir ia jual lebih tinggi iaitu RM4.

“Begitu juga dengan kubis Beijing terpaksa dijual RM6 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini dan kenaikan ini sudah berlaku sejak beberapa bulan lalu lagi.

“Memang ada pembeli merungut tapi mereka pun sedar dengan keadaan semasa negara termasuk musibah banjir dan Covid-19 yang mempengaruhi kenaikan harga barang,” katanya kepada Sinar Harian.

Syarifah berkata, begitu juga dengan terung gred A yang dibeli daripada peraih masih mahal iaitu RM34 untuk 5 kilogram dan harga ini masih sama sejak beberapa bulan lalu.

Begitupun ketika tinjauan harga dilakukan mendapati berlaku penurunan harga bagi timun bersaiz besar yang dijual RM5 sekilogram sejak beberapa hari lalu berbanding RM6 sebelum ini.