Jawatan bukan lesen boleh buat apa sahaja

Laporan Sinar Harian pada 29 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 29 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa pemberian jawatan kepada seseorang bukanlah satu kemuliaan, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebaiknya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, apa sahaja jawatan yang diserahkan kepada seseorang tidak seharusnya dianggap sebagai lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, pemikiran yang merasakan bahawa pemberian jawatan adalah satu kemuliaan merupakan antara punca segelintir individu merasakan mereka bebas melanggar undang-undang sehingga sanggup mengambil rasuah.

“Mereka tidak seharusnya rasa apabila mendapat jawatan tinggi, mereka tidak perlu mematuhi undang undang.

“Masyarakat wajar disedarkan bahawa jawatan yang mereka miliki bukanlah suatu tasyrif atau kemuliaan tetapi ia suatu taklif yang membawa maksud kebertanggungjawaban.

“Mereka harus melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.

“Bagi mereka yang mempunyai sumber kewangan atau sebagainya, janganlah menjadikan kelebihan tersebut untuk menambah kekayaan secara tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, masyarakat mestilah disuntik dengan elemen kerohanian dan ketakwaan dalam usaha menjayakan pembanterasan rasuah dengan pendekatan melibatkan masyarakat daripada pelbagai peringkat.

Artikel Berkaitan:

“Elemen kerohanian ini perlu disemai sejak di bangku sekolah lagi.

“Ia perlu dipupuk supaya menjadi sikap pelajar iaitu bencikan rasuah.

“Di tempat kerja juga mesti diadakan modul khas keagamaan bagi memberi kesedaran beragama kepada penjawat awam,” katanya.