Ujian pertama Biden tangani krisis Myanmar

Pihak tentera melakukan rampasan kuasa berikutan penahanan pemimpin-pemimpin parti pemerintah pada Isnin. - AFP
Pihak tentera melakukan rampasan kuasa berikutan penahanan pemimpin-pemimpin parti pemerintah pada Isnin. - AFP
A
A
A

TINDAKAN tentera Myanmar menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dan melancarkan rampasan kuasa pada Isnin lepas dianggap sebagai ujian awal kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang baru menjalankan tugas memimpin kuasa besar dunia itu pada 20 Januari lalu.

Ujian itu menguji cara beliau mengendalikan dan membantu menyelesaikan isu negara tersebut kerana sebelum ini kebangkitan Yangon beralih menjadi sebuah negara demokrasi selepas diperintah tentera berlaku ketika era Biden menjadi Naib Presiden AS.

Beliau pernah menjadi orang nombor dua ketika Barack Obama menjadi Presiden AS yang ke-44 yang membantu membuka semula sekatan ke atas Myanmar kira-kira sedekad lalu setelah berlaku peralihan kuasa daripada tentera kepada kerajaan awam.

Bagaimanapun, kini Suu Kyi yang merupakan ikon demokrasi Myanmar telah kehilangan sokongan di peringkat antarabangsa kerana berlakunya satu kempen ganas terhadap penduduk minoriti Muslim, Rohingya di negaranya.

Pada September tahun lalu, dua askar negara tersebut didakwa mengaku membunuh dan menanam mayat etnik tersebut di dalam sebuah kubur besar dan pengakuan itu dibuat melalui rakaman video setelah kedua-duanya melarikan diri dari Myanmar.

Menurut akhbar New York Times, siasatan terhadap kes jenayah menentang kemanusiaan yang didakwa dilakukan oleh negara berkenaan sedang berjalan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda sejak tahun lalu.

Pengakuan kedua-dua askar dengan salah seorang daripada mereka mengaku merogol wanita Rohingya itu sekali gus menyokong dakwaan yang tersebar luas bahawa tentera Myanmar cuba untuk menghapuskan etnik tersebut.

Pada 25 Ogos 2017, tentera Myanmar dan sebahagian perusuh beragama Buddha melancarkan tindakan keras ke atas kampung-kampung Rohingya di negeri Rakhnie dengan menggunakan alasan isu-isu keselamatan berikutan satu siri serangan ganas di pos-pos keselamatan sempadan.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario pada Ogos 2018, sekurang-kurangnya 24,000 penduduk Muslim Rohingya telah dibunuh oleh tentera Myanmar sejak 25 Ogos 2017.

Berdasarkan laporan tersebut, askar-askar negara berkenaan telah merogol kira-kira 18,000 wanita.

Justeru, kira-kira 700,000 etnik Rohingya dilaporkan melarikan diri keluar dari negara tersebut berikutan tindakan keras tentera Myanmar.

Namun, menurut portal BBC, Suu Kyi menyatakan kes pembunuhan kaum yang didakwa dilakukan oleh Myanmar itu tidak benar dan menganggap masalah di negeri Rakhine iaitu tempat ramai penduduk Rohingya tinggal telah berlaku sejak berabad-abad lamanya.

Suu Kyi ditahan pihak tentera yang mendakwa berlakunya penipuan dalam pilihan raya negara Myanmar baru-baru ini. - AFP
Suu Kyi ditahan pihak tentera yang mendakwa berlakunya penipuan dalam pilihan raya negara Myanmar baru-baru ini. - AFP

Beliau yang merupakan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1991 pernah berkata, keganasan ke atas etnik tersebut berlaku akibat konflik dalaman yang dicetuskan oleh serangan militan Rohingya ke atas pos-pos sempadan milik kerajaan.

Pada September tahun lalu itu, Kesatuan Eropah (EU) membuat keputusan untuk tidak mengundang Suu Kyi bagi menghadiri majlis penerima Hadiah Sakharov yang diberikan kepada individu yang mempertahankan hak-hak asasi manusia dan telah dimenanginya pada tahun 1990.

Menurut portal Berita Parlimen Eropah, keputusan itu dibuat kerana wanita yang berumur 75 tahun itu dibabitkan dalam kejadian pembunuhan kaum di negaranya.

Biden pada Isnin lalu pula membuat kenyataan dengan memberi amaran untuk melaksanakan semula sekatan ke atas Myanmar yang melakukan rampasan kuasa dan menahan Suu Kyi dan beberapa pemimpin politik.

Rampasan kuasa itu dilakukan selepas tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum negara tersebut yang diadakan pada tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, parti pimpinan wanita tersebut iaitu Liga Untuk Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diasaskannya pada tahun 1988 menang besar setelah parti tersebut turut mencatatkan kejayaan besar dalam pilihan raya sama pada tahun 2015.

Bagaimanapun, Suu Kyi tidak boleh menjadi Presiden dan diberikan jawatan sebagai Kaunselor Negara yang sama taraf dengan jawatan Perdana Menteri dan diwujudkan sejak tahun 2016 atas alasan beliau mempunyai suami dan anak daripada warga asing sekali gus menyalahi Perlembagaan negara.

Menurut AFP, Ketua Tentera Myanmar yang mengetuai rampasan kuasa itu, Jeneral Min Aung Hlaing kini masih berada dalam sekatan kewangan AS kerana didakwa terlibat dalam kempen menentang penduduk Muslim Rohingya yang dianggap Washington sebagai pembersihan kaum.

Seorang felo kanan di sebuah pertubuhan pemikir iaitu Pembiayaan Carnegie Untuk Keamanan Antarabangsa, Suzanne DiMaggio berkata, pentadbiran Biden perlu mengelak daripada melaksanakan sekatan tetapi cuba melakukan diplomasi ke atas Myanmar.

"Myanmar merupakan ujian awal yang tidak dijangka berlaku di bawah pentadbiran Biden yang menekankan tentang kepentingan hak asasi manusia dan demokrasi," ujarnya. - Agensi