Najib tuntut RM10 juta dan permohonan maaf daripada Tommy

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut RM10 juta dan permohonan maaf daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana memfitnah beliau dalam memoir yang baru diterbitkan iaitu 'My Story: Justice in the Wilderness'.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, mereka telah menghantar surat tuntutan kepada Tommy dan mengharapkan balasan pada Jumaat.

“Jika kami tidak terima jawapan memuaskan dari anda Jumaat ini, arahan jelas kami ialah memulakan prosiding undang-undang awal minggu depan," kata Muhammad Shafee dalam notis tuntutan tersebut pada Selasa.

Shafee berkata, kenyataan Thomas dalam memoirnya itu adalah sangat cuai, melulu, tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan bertujuan untuk mencemarkan imej dan reputasi baik Najib di mata orang ramai dan seterusnya mendedahkan anak guamnya kepada kebencian, cercaan, penghinaan, ejekan dan cemuhan orang ramai.

“Kamu menggambarkan dia sebagai pembunuh dengan kesimpulan secara langsung dan sindiran yang sama sekali tidak benar, palsu dan tidak mempunyai asas atau bukti," katanya.

Muhammad Shafee berkata, kenyataan Tommy yang mempertikaikan perkara itu jelas bermotifkan mala fide (berniat jahat) dan dilakukan demi kepentingan diri untuk mencari publisiti murahan, sensasi dan keuntungan.

Beliau turut menyifatkan kenyataan dalam buku itu telah menimbulkan rasa tertekan dan memalukan Najib terutamanya apabila kenyataan itu dibuat oleh bekas Peguam Negara Malaysia.

“Kemudian, kamu dengan sengaja membuat kenyataan ini walaupun mengetahui bahawa Mahkamah Persekutuan baru-baru ini telah menolak percubaan untuk menyemak semula keputusan mereka yang berkaitan dengan sabitan terhadap Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam memoirnya, Thomas berkata, Sirul telah memberikan bukti yang membenarkan dakwaan tertuduh bersama Azilah yang membabitkan keterlibatan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya.

Thomas berkata, dia diberitahu Sirul sebelum itu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Australia bahawa dia diarahkan untuk membunuh perisik asing, seperti yang didakwa oleh Azilah.

Menurut bekas Peguam Negara itu, ia berdasarkan wawancara oleh seorang timbalan pendakwa raya kanan yang diarahkannya untuk bertemu Sirul di pusat tahanan imigresen Villawood di Australia.